Anda di sini

Industri kayu Malaysia, Vietnam meterai Memorandum Kerjasama perkukuh kerjasama ekonomi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Industri kayu dan yang berasaskan kayu di Malaysia dan Vietnam hari ini memeterai Memorandum Kerjasama untuk membangunkan lagi dagangan kayu bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara. 

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perkayuan Malaysia (MTC) Muhtar Suhaili berkata pada masa yang sama ia juga menyediakan peluang bagi pengeluar kedua-dua negara untuk meningkatkan eksport dan import mereka. 

“Malaysia komited untuk membangunkan lagi industri kayunya secara mampan dan boleh mendapat manfaat daripada pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi dari Vietnam dalam pengeluaran perabot dan akses ke pasaran Kesatuan Eropah menerusi perjanjian perdagangan bebas negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Muhtar menyaksikan majlis permeteraian itu yang diadakan di Ho Chi Minh City, Vietnam pada Rabu.

Beliau berkata ketersediaan tenaga kerja mahir Vietnam dalam kalangan penduduk tempatan akan memberi kelebihan selain kedekatannya dengan China yang menyediakan akses mudah bagi bahagian-bahagian perabot dan panel kayu.

Memorandum Kerjasama itu adalah sejajar dengan perjanjian Sidang Kemuncak ASEAN pada 2000 yang mana inisiatif bagi Integrasi ASEAN dilancarkan untuk merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan daya saing ASEAN sebagai satu rantau, katanya.

“Ia juga akan melindungi kepentingan kedua-dua negara terhadap peraturan yang mungkin menjejaskan kepentingan industri kayu Malaysia dan Vietnam,” katanya.

Sementara itu, permeteraian Memorandum Kerjasama itu merupakan sebahagian daripada Lawatan Pasaran dan Perniagaan MTC ke Hanoi dan Ho Chi Minh dari 13-17 Jun, 2022.

Eksport produk kayu Malaysia ke Vietnam pada 2021 berjumlah US$38.44 juta (US$1=RM4.41) manakala import sebanyak US$148.25 juta yang terdiri daripada produk berasaskan kayu dari Vietnam.

Lima produk utama kayu yang dieksport Malaysia ke Vietnam pada 2021 ialah papan partikel  (US$9.35 juta), perabot kayu (US$7.77 juta), papan gentian (US$5.99 juta), kayu bergergaji (US$5.46 juta) dan pertukangan kayu halus serta pertukangan kayu pembina (US$3.39 juta). - BERNAMA  

Advertisement