Anda di sini

Sarawak tuan rumah Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan pada 2023 

Advertisement
Abdul Karim (tiga kanan) menyerahkan bendera Sarawak kepada Rhemy sambil disaksikan Tazudin. – Gambar oleh Roystein Emmor
Abdul Karim (tiga kanan) menyerahkan bendera Sarawak kepada Rhemy sambil disaksikan Tazudin. – Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Sarawak akan menjadi tuan rumah untuk kali ketiga Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan pada 2023 yang akan diadakan dalam skala besar, selari dengan negeri kini yang mempunyai muzium baharu iaitu Muzium Budaya Borneo.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sejak dibuka bermula 9 Mac lalu sehingga kelmarin (13 Jun), Muzium Budaya Borneo sudah menjangkau jumlah 250,000 pelawat.

“Malah, Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur Michael Newbill baru-baru ini melawat Muzium Budaya Borneo dan beliau kagum dengan muzium itu, selain menyifatkannya sebagai bertaraf antarabangsa.

“Justeru adalah wajar sekiranya kita mengadakan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan pada tahun 2023 dengan skala besar, apatah lagi apabila kita tahu bahawa setiap muzium di negeri-negeri lain di Malaysia akan menghantar delegasi yang besar untuk acara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Jabatan Muzium Sarawak ke Hari Muzium Antarabangsa 2022 di Bangunan Baitulmalmur di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Tazudin Mohtar.

Abdul Karim menambah, Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Sarawak pada tahun depan juga merupakan salah satu acara yang boleh dianggap memacu pelancongan domestik susulan ia akan menarik pelancong berkunjung ke tempat-tempat menarik di Negeri ini.

“Delegasi muzium dari seluruh negeri di Malaysia ini datang dengan jumlah 30 ke 40 orang sekali gus menjadikannya satu acara pelancongan yang akan memberi manfaat kepada banyak sektor dalam ekonomi kita termasuk industri perhotelan, makanan dan minuman serta perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu Abdul Karim memberitahu bahawa Sarawak akan menghantar seramai 31 delegasi daripada Jabatan Muzium Sarawak ke Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kota Bahru, Kelantan bermula 16 hingga 25 Jun ini. 

Beliau menambah, acara itu akan menampilkan pelbagai aktiviti dan setiap negeri turut menghantar perwakilan mereka untuk acara tersebut.

“Terdapat banyak aktiviti yang akan diadakan antaranya seminar, penglibatan komuniti, pameran dan sukan-sukan seperti badminton, bola sepak, sepak takraw, memanah, permainan dart (damak) dan karom,” ujar beliau.

Terdahulu, Sarawak pernah menjadi tuan rumah bagi acara tersebut masing-masing pada 2013 dan 2003.

Tahun ini, Kelantan akan menjadi tuan rumah bagi Hari Muzium Antarabangsa 2022 Peringkat Kebangsaan dan acara itu akan diadakan secara fizikal buat kali pertama, berbeza dengan tahun lepas yang diadakan secara maya.

Bagi tahun 2022 tema antarabangsa ialah ‘The Power of Museums’ dan bertujuan membawa perubahan positif kepada komuniti melalui muzium dengan kuasa mencapai kemampanan, kuasa inovasi dalam pendigitalan dan kebolehcapaian serta kuasa pembinaan komuniti melalui pendidikan.

Chief De Mission Kontinjen Jabatan Muzium Sarawak Rhemy Romeo Jamal menerima penyerahan bendera daripada Abdul Karim pada majlis tersebut.

Advertisement