Anda di sini

Ribut pasir lumpuhkan Iraq

Advertisement
Debu putih tebal menyelubungi Baghdad dan kawasan sekitar kelmarin, dengan penglihatan kabur sehingga beberapa ratus meter. — Gambar AFP
Debu putih tebal menyelubungi Baghdad dan kawasan sekitar kelmarin, dengan penglihatan kabur sehingga beberapa ratus meter. — Gambar AFP

BAGHDAD: Iraq menutup sementara lapangan terbang Baghdad kelmarin ketika awan debu yang menyesakkan menyelubungi ibu negara dalam kemaraan terkini ribut pasir yang melumpuhkan.

Ia merupakan ribut debu ke-10 sejak pertengahan April yang melanda Iraq yang kini dicengkam kemarau teruk, degradasi tanah, suhu tinggi dan penurunan hujan rendah yang dikaitkan dengan perubahan iklim.

Iraq yang sedang memasuki musim panas terik ketika suhu pada beberapa masa mengatasi 50 darjah Celsius, telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah satu daripada lima negara paling terdedah dengan perubahan iklim dan penggurunan.

Pada awal bulan ini sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, Presiden Barham Saleh memberikan amaran bahawa  menangani perubahan iklim harus menjadi keutamaan Iraq ketika ia merupakan satu ancaman yang wujud terhadap masa depan generasi akan datang.

Pada pagi kelmarin, debu putih tebal menutupi bandar utama Iraq dan kawasan sekeliling dengan tahap penglihatan terjejas  hingga beratus-ratus meter.

Pihak berkuasa di lapangan terbang Baghdad mengummkan penangguhan sementara penerbangan selama beberapa jam sebelum dimulakan semula sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Di Najaf, bandar suci Syiah di tengah Iraq, lapangan terbang menangguhkan sebentar operasi pada waktu pagi sebelum dibuka semula beberapa jam kemudian ketika debu beransur lenyap.

Lapangan terbang terpaksa menangguhkan penerbangan beberapa kali akibat ribut pasir sejak beberapa minggu lepas.

Pada Mei, ribut pasir menyebabkan ribuan orang dimasukkan ke hospital dengan masalah pernafasan dan seorang maut.

Kementerian alam sekitar telah memberikan amaran bahawa untuk dua dekad akan datang Iraq akan mengalami ribut pasir  dianggarkan selama 272 hari dalam setahun, meningkat kepada 300 sehingga 2050. — AFP

Advertisement