Anda di sini

Cahya Mata Sarawak cadang jual kepentingan dalam dua syarikat bernilai US$120 juta

Advertisement
KUALA LUMPUR: Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) telah bercadang menjual keseluruhan 25 peratus kepentingan kumpulan dalam pelebur ferosilikon dan aloi mangan OM Materials (Sarawak) Sdn Bhd dan penyedia perkhidmatan pengurusan projek OM Materials (Samalaju) Sdn Bhd bernilai US$120 juta (US$1=RM4.42).

Pemudah cara infrastruktur itu berkata anak syarikat milik penuhnya, Samalaju Industries Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian bersyarat untuk menjual kepentingan kepada OM Materials (S) Pte Ltd yang memiliki lebihan 75 peratus daripada kedua-dua syarikat.

Pertimbangan jualan bersih berjumlah US$109.23 juta selepas menolak pinjaman pemegang saham yang perlu diselesaikan sebanyak US$10.77 juta, kata CMSB dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut kumpulan, lembaga pengarah menyifatkan cadangan penjualan itu sebagai peluang untuk membuka dan merealisasikan nilai yang tinggi daripada pelaburannya dalam kedua-dua syarikat.

“Cadangan penjualan tersebut akan mengukuhkan aset bersih kumpulan dengan ketara kepada RM3.38 bilion daripada RM3.23 bilion disebabkan keuntungan RM147.62 juta daripada penjualan yang diiktiraf,” katanya.

CMSB berkata daripada jumlah hasil kasar sebanyak US$120 juta, ia bercadang memperuntukkan US$30 juta untuk pengambilalihan atau pelaburan masa depan, US$24.08 juta bagi perbelanjaan modal, US$60 juta bagi modal kerja dan US$5.92 juta bagi anggaran perbelanjaan berkaitan penjualan itu.

“Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2022,” menurut CMSB. - BERNAMA

Advertisement