Anda di sini

Pemisah pro-Rusia tetap hukum mati warga asing bantu Ukraine

Advertisement

MARIUPOL: Seorang ketua pemisah pro-Rusia di timur Ukraine menyatakan kelmarin dia tidak akan mengubah hukuman mati yang dijatuhkan ke atas dua rakyat Britain dan seorang rakyat Maghribi kerana berjuang bersama dengan tentera Ukraine.

Mereka datang ke Ukraine untuk membunuh orang awam bagi mendapatkan wang.

Itulah sebabnya mengapa saya tidak melihat kewajaran untuk membatal atau meminda hukuman tersebut, Denis Pushilin, ketua pemisah wilayah Donetsk yang membicarakan mereka, memberitahu wartawan.

Pushilin menyatakan mahkamah telah mengemukakan hukuman yang sangat adil terhadap tiga tentera upahan terbabit.

Dia turut menuduh Perdana Menteri British Boris Johnson mengabaikan nasib mereka dan gagal menghubungi pihak berkuasa pemisah.

Pushilin bercakap pada sidang media yang dihadiri AFP di Mariupol, bandar utama kawasan berpisah, sebagai sebahagian daripada satu lawatan yang dianjurkan kementerian pertahanan Rusia ke bandar Ukraine yang terjejas akibat pertempuran setelah ditawan Rusia dan pasukan pemisah pada Mei.

Sabtu lepas, jurucakap Johnson menyatakan beliau terkejut mendengar hukuman mati dijatuhkan ke atas rakyat Britain Aiden Aslin dan Shaun Pinner serta rakyat Maghribi Brahim Saadun.

Mereka sebenarnya anggota pasukan bersenjata Ukraine dan dengan itu merupakan tahanan perang, bukan tentera upahan seperti mana tuduhan pihak berkuasa pemisah di kawasan Donetsk, menurut jurucakap terbabit.

Menurut keluarga mereka, Aslin dan Pinner tinggal di Ukraine sejak 2018.

Jumaat lepas, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mengenai hukuman mati yang dijatuhkan terhadap tahanan perang oleh pemberontak pro-Rusia.  - AFP

Advertisement