Anda di sini

Kerajaan perkukuh sektor pertanian untuk percepatkan transformasi struktur

Advertisement
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengukuhkan sektor pertanian sebagai sebahagian daripada inisiatif strategiknya untuk mempercepatkan transformasi berstruktur kerana produktiviti pertanian yang lebih tinggi akan memberikan hasil tiga kali ganda iaitu jaminan makanan yang mampan, sumber manusia yang lebih produktif dan penggunaan tanah dan air yang lebih cekap.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan perlu menggalakkan sektor yang mempunyai kelebihan perbandingan selain memupuk sektor-sektor utama seperti pertanian yang melibatkan sebahagian besar masyarakat.

"Transformasi pertanian kekal sebagai pemacu pemangkin kepelbagaian ekonomi, perindustrian dan kemajuan insan melalui kesannya terhadap pendapatan isi rumah, pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat,"  katanya dalam ucap tama pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2022 bertemakan “Mempercepatkan Transformasi Struktur, Memacu Pertumbuhan Ekonomi” (Accelerating Structural Transformation, Driving Economic Growth) di sini hari.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, nisbah mampu diri Malaysia adalah rendah untuk barangan pertanian seperti daging lembu (22.2 peratus); daging kambing (9.6 peratus); cili (30.9 peratus) dan beras (63.0 peratus).

Penguasaan sektor pertanian daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar adalah 7.4 peratus pada 2020, agak kecil berbanding negara-negara jiran seperti Indonesia (13.7 peratus) dan Thailand (8.6 peratus).

Mohd Shahar berkata berikutan asas ekonomi negara yang kukuh serta sistem penjagaan kesihatan awam yang berkesan, kerajaan seharusnya lebih bersedia sekarang dari segi mekanisme untuk merancang, melaksana, mengurus dan memantau semua perancangan, pembangunan dan dasar dalam bersiap sedia untuk masa depan.

Mengenai tindakan strategik lain yang perlu diambil selain daripada menggalakkan sektor utama seperti pertanian, Mohd Shahar berkata kerajaan juga harus melaksanakan strategi bersepadu dan perkongsian luas untuk mengukuhkan institusi, menangani halangan kawal selia dan memastikan perlindungan yang mencukupi untuk pelabur dan pekerja.

"Ini akan mengurangkan ketidakstabilan makroekonomi dan politik, menggalakkan persekitaran yang kompetitif untuk industri tempatan, meningkatkan pelaburan domestik dan luar serta mewujudkan akses kepada pembiayaan jangka panjang," jelas beliau.

Selain itu, keutamaan mesti diberikan kepada infrastruktur sosial dan ekonomi yang merangkumi keselamatan sosial dalam membangunkan masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

"Bantuan tunai dan program subsidi bahan api akan dipertingkatkan melalui mekanisme pengagihan yang lebih berkesan, beralih daripada subsidi menyeluruh kepada subsidi lebih fokus," tambahnya.

Untuk memastikan pembangunan wilayah yang lebih seimbang, kerajaan akan terus menarik pelaburan berkualiti tinggi di semua koridor ekonomi.

"Kawasan luar bandar akan dibangunkan sebagai pemangkin pertumbuhan. Justeru, penekanan akan diberikan untuk menambah baik ekosistem perniagaan dan menaik taraf infrastruktur di wilayah atau negeri kurang membangun," jelas beliau.

Sementara itu, Mohd Shahar juga berkata Kementerian Kewangan turut komited untuk mengambil penglibatan awam dan pihak berkepentingan secara meluas bagi mendapatkan input dan cadangan semasa penyediaan dan pemuktamadan Bajet 2023.

"Orang ramai dan pihak berkepentingan membantu kementerian merangka dasar yang bersesuaian untuk kemajuan rakyat dan negara. Bak kata pepatah, "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh", saya benar-benar percaya bahawa bekerjasama rapat dan menyokong antara satu sama lain akan menjadikan kita negara yang kuat dan makmur untuk semua," ujar beliau. - BERNAMA

Advertisement