Anda di sini

Tripoli kembali digegar pertempuran

Advertisement
Kelihatan kenderaan bergerak di sepanjang jalan di daerah Souk al-Thalath di Tripoli bandar utama Libya kelmarin selepas berlaku pertempuran sengit antara dua militia berpengaruh pada malam Jumaat lepas. — Gambar AFP
Kelihatan kenderaan bergerak di sepanjang jalan di daerah Souk al-Thalath di Tripoli bandar utama Libya kelmarin selepas berlaku pertempuran sengit antara dua militia berpengaruh pada malam Jumaat lepas. — Gambar AFP

TRIPOLI: Pertempuran di antara kumpulan bersenjata meletus di bandar utama Libya pada malam Jumaat, menurut kepada media tempatan, ketika negara itu mengalami kesan cubaan rampasan kuasa yang gagal tiga minggu lepas.

Kejadian tembak-menembak sengit dan letupan bergema di beberapa buah daerah di Tripoli pada Jumaat lepas, menurut wartawan AFP, ketika gambar yang disiarkan media tempatan menunjukkan orang awam meninggalkan kawasan yang sangat sesak.

Pertempuran sengit melibatkan dua militia berpengaruh dari Libya barat, lapor media tempatan.

Tiada kematian atau motif pertempuran dilaporkan dengan segera, namun ia merupakan keganasan terkini yang menggegarkan negara itu ketika dua perdana menteri bermusuhan berebut kuasa.

Selepas satu rusuhan pada 2011 menggulingkan pemimpin diktator Muammar Gaddafi, perbalahan politik meletus bagi memenuhi lohong kuasa yang membelenggu Libya yang kaya dengan minyak.

Pada bulan lepas ahli politik Fathi Bashagha cuba untuk merampas kuasa dan mencetuskan perbalahan awal pagi di antara kumpulan bersenjata yang menyokongnya dengan kumpulan lain yang menyokong perdana menteri sementara Abdulhamid Dbeibah.

Dbeibah telah dilantik di bawah proses damai bermasalah yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada awal tahun lepas bagi mengetuai peralihan untuk pilihan raya yang ditetapkan pada Disember 2021, namun pilihan raya itu ditangguhkan.

Pada Februari, parlimen melantik Bashagha, menteri dalam negeri sebelum ini, atas alasan mandat Dbeibah telah tamat.

Namun Dbeibah telah menegaskan dia hanya akan melepaskan kuasa kepada pentadbiran yang dilantik. – AFP

Advertisement