Anda di sini

Menjual Kertas A4 di Atas Bangunan

Advertisement
 

Oleh Faizal Jarawi

HARI yang sangat membosankan. 
     Seharian berada di hadapan televisyen sambil mengunyah makan ringan yang dibeli semalam. Mengharapkan idea menjelma namun tidak jua muncul. Telinga sudah muak dengan keracauan yang berlaku di luar negara. Perebutan kuasa yang tidak ada penghujungnya. 
     Tiba-tiba menjelma seekor keldai yang hanya menimbulkan ketegangan. Tidak memberi makna perjuangan malah mendapat kutukan yang memakan diri sendiri. 
     Ah, saya tidak berniat untuk mengubah dunia realiti menjadi fiksyen. Hakikatnya saya harus menggali tentang alam fiksyen daripada dia. Lelaki berusia 40-an yang buta mata sebelah kirinya.  
     Dua hari yang lepas kami bertemu di kedai makan selepas waktu bekerja. Seperti kebiasaan dia sudah menunggu kedatangan saya. Beg sandang miliknya diletakkan di atas meja lalu mempelawa saya. 
     Sejak pertemuan pertama kami semasa seminar penulisan, dia tidak seperti sekarang. Mengenakan cermin mata hitam walaupun berada di tempat berbumbung. Tidak mungkin kecelakaan yang berlaku semasa seminar dahulu masih dialaminya. Sudah hampir 6 bulan kejadian itu. Adakah ini salah satu cara untuk dia mengelak diri daripada dikenali? Mustahil kerana penulis fiksyen tidak seperti selebriti. Mendedahkan aktiviti harian untuk tumpuan umum agar mendapat pujian.
     Saya mengambil manuskrip dari fail yang sering dibawa ke mana-mana saya pergi. Manuskrip terbaharu tentang kehidupan seseorang yang dihantui oleh bayang-bayangnya sendiri. Niat saya mahu e-mel manuskrip ini ke salah sebuah akhbar perdana. Dengan harapan agar diterbitkan. Ya, keyakinan saya mulai melonjak tinggi. Manuskrip terbaik yang saya tulis. 
     Dengan tenang dia mencicip air kopi pekat yang telah dipesan. Pada masa yang sama, pelayan muncul sambil membawa piring kaca berisi roti canai kosong dua keping. Saya memesan air kosong lalu pelayan itu beredar.
     Dia memandang manuskrip yang ada di atas meja. Agak lama. Mungkin terperanjat dengan tajuk yang saya persembahkan. Sebelum ini saya menghidangkan air sirap sahaja. Kali ini, dia akan menikmati jus buah strawberi yang segar diimport dari luar negara. Semua itu sangkaan saya sahaja. Seperti yang saya fikirkan. Dia akan bertanya tentang soalan yang sama.
     “Kau sudah menjejakkan kaki di atas bangunan?”
     Pertanyaan yang tidak mewarnai pagi saya disebabkan keletihan. Dengan rasa malas saya senyum tanpa suara. 
     Dia seperti dapat meneka jawapan saya. Keadaan menjadi senyap. Mungkin dia menikmati manuskrip saya. Saya tidak dapat menaakul reaksi wajahnya disebabkan cermin mata yang digunakan. Mungkin juga matanya mengalami alahan silau. Saya tidak mengetahui sebabnya. Saya yakin, dia mempunyai alasan peribadi.
     Saya teringat pertama kali berhadapan dengan dia. Menghadiri seminar penulisan yang dianjurkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Dia orang yang pertama membaca manuskrip saya. Sesuatu yang berlaku di luar jangkaan saya. Selesai membaca muka surat pertama, kepalanya beralih ke kiri. Dia menggosok-gosok matanya berkali-kali. Dia mengatakan bahawa sesuatu yang tajam masuk ke dalam matanya. Saya memerhati sekeliling dan mencari punca. Tidak mungkin debu nakal yang diterbangkan oleh angin masuk ke dalam matanya. 
     Dengan segera saya meminta tisu basah daripada salah seorang kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka yang bersama-sama kami ketika itu. Dia menyapu tisu basah dengan perlahan-lahan. Beberapa orang peserta menghampiri dia. Mungkin terasa pedih. Memandangkan situasi yang tidak dapat dikawal, saya melangkah ke belakang. Semakin ramai orang menghampirinya. Langkah saya semakin ke belakang.
     Keesokan hari dia hadir ke seminar dengan mata sebelah kiri ditampal kain pembalut luka. Sudah pasti perasaan risau berselindung di hati saya. Semalaman saya memikirkan keadaan dia. Lalu saya bertanya kepada dia,
     “Mata abang kenapa?”
     “Maaflah sebab tidak habis membaca manuskrip semalam. Kertas yang kau gunakan tidak berkualiti. Cebisan sisi kertas itu mencederakan mata putih abang. Nasib baik anak mata hitam tidak terkena. Kalau mengena, seumur hidup abang merana menanggung sebelah mata yang buta,” balasnya. Selamba.
     Saya tercengang. 
     Kertas yang saya gunakan bermutu dan tidak pernah mencederakan sesiapa pun. Bagaimana pula bahagian sisi kertas itu boleh mencederakan mata? Saya mengomel sendirian. Saya inginkan kepastian. 
     “Maksud abang, apa ya?”
     “Jangan biarkan kertas yang kau gunakan sekarang ini mencederakan mata orang lain. Cukuplah abang seorang. Gantikan dengan kertas yang lebih berkualiti dijual di kedai fiksyen terletak di atas bangunan,” jawabnya. Berseloroh.
     Nah, sekali lagi saya buntu. Jawapan yang tidak masuk akal. Mana mungkin dibina kedai menjual kertas A4 di atas bangunan. Adakah dia hanya mempermainkan saya? Tidak mungkin kerana bekas anak didiknya berjaya mencipta nama dalam penulisan fiksyen. Dan, niat saya hanya satu. Menulis fiksyen untuk menyedarkan masyarakat dan bukannya atas nama popular. 
     Hari terakhir seminar penulisan itu, saya keluar dari hotel 3 bintang dengan jiwa yang membara. Teoretikal penuh di dada. Sekarang ini saya harus praktik semua kemahiran yang telah dipelajari. 
     Namun saya harus bermula dari mana? 
    Soalan yang agak klise bagi mana-mana penceramah bengkel jika berdepan dengan penulis baharu. Sepanjang menuju ke tempat parkir motosikal, saya teringat akan dia, Encik Muaz, penulis fiksyen yang dinobatkan sebagai Pemenang Hadiah Sastera baru-baru ini. 
    Saya mendongak ke atas. Mata saya menangkap setiap bangunan yang tinggi. Seseorang berdiri seolah-olah melambai saya untuk bersama-sama berada di atas bangunan itu. 
     Ah, itu semua khayalan sahaja. 
     Kata-kata dia masih pekat dalam fikiran saya. Selepas memasang topi keledar, kedai fiksyen kembali menghantui fikiran saya. Perlukah saya melakukan perkara seperti yang dikatakan oleh dia? Mengunjungi setiap bangunan yang ada di bandar ini semata-mata mencari kedai fiksyen yang menjual kertas A4 yang berkualiti. Sepanjang perjalanan saya menuju ke rumah sewa ditemani fikiran kosong.
     Sehingga sekarang saya tidak dapat memberikan jawapan. Saya rasa bersalah pada diri sendiri. Saya abaikan permintaan dia. Saya merasakan tidak salah jika saya mencuba. Mungkin idea baharu akan muncul jika saya bertindak seperti yang dikatakan dia. Menaiki anak tangga menuju ke atas bangunan dan mencari kedai fiksyen menjual kertas A4. 
     Tidak perlu saya menyusahkan diri mencari bangunan pencakar langit. Bangunan tempat saya menyewa sekarang sudah cukup tinggi. Mungkin saya akan menemui kedai fiksyen di atas bangunan ini. Saya lantas membuka pintu. Televisyen dibiarkan tanpa ditutup. Kipas siling yang ada di ruang tamu dibiarkan berpusing. Beberapa kulit kacang bertaburan di atas meja. Di tepi bungkusan kacang masih terbuka komputer riba menunggu untuk disimpan. 

 

     Dengan tergesa-gesa saya menuju ke arah anak tangga. Langkah saya terhenti. Adakah saya seorang sahaja penghuni di sini yang baru menyedari perkara ini. Setiap anak tangga di dalam bangunan ini direka sedemikian. Ditulis beberapa perkataan serupa bingkai pada sebuah buku. Dan paling mengejutkan saya lagi adalah anak tangga pertama tertulis tajuk buku yang pernah saya baca. Begitu juga dengan anak tangga yang kedua dan ketiga. Saya melangkah perlahan-lahan dibebani kehairanan. Namun, langkah saya seterusnya semakin laju. Niat utama saya adalah untuk mencari kedai fiksyen.
     Saya terus menerus melangkah. Setiap anak tangga yang tertulis perkataan dilalui sehingga saya berada di tingkat 14. Saya tercungap-cungap. Menarik nafas dalam-dalam. Sejak bekerja di kedai 7/11, saya jarang bersenam. Jika hari cuti, saya akan menghabiskan masa di depan komputer riba. Menyiapkan manuskrip kemudian disimpan di dalam laci. 
     Seorang diri berada di atas bangunan. Angin senja menekan kulit lalu menerbangkan bulu roma yang terbuka. Saya sendiri tidak menyangka melakukan sesuatu yang tidak masuk akal. Dia begitu hebat mempengaruhi fikiran saya. Akhirnya saya mengalah dan menurut kata-katanya. Saya toleh ke kanan kemudian kiri. Tiada apa-apa yang kelihatan. Kosong. Bunyi berlumba-lumba masuk ke dalam telinga saya. 
     Saya merasakan seperti seseorang yang melakukan pekerjaan gila. Melangkah anak tangga dalam keadaan penat sehingga ke puncak bangunan. Tujuan untuk mencari kedai fiksyen yang menjual kertas A4 dan dikatakan berkualiti. Itu saya tahu. Tapi mustahil tempat yang saya tujui wujud. 
     Di manakah kedai fiksyen? 
     Satu helaian kertas pun tidak kelihatan di atas bangunan ini. Dengan perasaan hampa saya duduk di tepi dinding. Seorang diri.
     Keesokannya, seawal jam 7 pagi saya menerima pesanan ringkas daripada dia. Dia mahu berjumpa dengan saya. Katanya lagi hendak mengulas tentang manuskrip terbaru yang dibaca tempoh hari. Dia juga menyatakan bahawa tidak dapat meluangkan masa agak lama kerana terpaksa menghadiri pelancaran kumpulan cerpen terbarunya. 
     Kali ini saya tidak teruja kerana pastinya manuskrip saya dikritik seperti manuskrip sebelum ini. Namun, saya sudah persiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Manuskrip saya pernah dilipat-lipat dan dijadikan origami. Perkara itu sudah biasa bagi saya setiap kali dia selesai membaca manuskrip sebelum ini. 
     Sejujurnya saya tidak mempedulikan perkara itu. Bagi saya, untuk mempelajari sesuatu, kesabaran mesti ada. Ketabahan harus kental dan saya tidak mungkin mengalah. Saya tetap berusaha membuktikan kepada dia bahawa dunia fiksyen bakal jadi milik saya.
     Pertemuan ini agak pelik. Kebiasaannya dia akan tiba dahulu. Tapi kali ini saya yang menunggu kedatangannya. Yang paling mengejutkan, dia berjalan ke arah saya tanpa mengenakan cermin mata hitam. Seperti biasa beg sandang diletakkan di tempat duduk sebelahnya. Dia seperti dapat meneka soalan pertama saya kepadanya.
     “Kau hairan melihat abang tidak bercermin mata, bukan? Terima kasih kerana abang tidak memerlukan cermin mata hitam lagi untuk membaca manuskrip kau seterusnya,” katanya.
     Saya merenung wajah dia. Saya dapat menangkap makna di sebalik kata-katanya itu. Satu persoalan yang timbul di benak fikiran saya ketika ini. 
     Bagaimana keadaan matanya yang mengalami kecelakaan dahulu? 
     Adakah kejadian yang berlaku semasa seminar penulisan sesuatu yang diada-adakan? 
     Ah, kejadian sudah berlalu. Bisik hati kecil saya. Yang pasti, manuskrip terbaru saya tidak lagi mencederakan matanya. Nah, akhirnya sesuatu yang menggembirakan diri saya walaupun dia tidak memberitahu secara langsung. Senyumannya sudah cukup memberi makna. 
     “Kerja seorang penulis bukan sahaja menulis. Penulis harus membina kedai fiksyennya sendiri dan menjual kertas A4 yang berkualiti,” sambungnya lagi.
     Saya hanya mengangguk. Fikiran saya ligat bergerak. Teringat kembali ketika melangkah anak tangga bangunan tempat tinggal saya. Usaha untuk naik ke atas bangunan bukanlah sesuatu yang sia-sia. Seakan pengorbanan saya selama ini untuk mendalami penulisan fiksyen. Setiap bangunan pencakar langit mempunyai reka bentuk yang tersendiri. Seumpama kisah fiksyen yang perlu saya terokai. 
     Sebelum beredar, dia meletakkan manuskrip itu di atas meja bersama kertas lukisan bersaiz A3. Saya fikir lukisan itu hasil tangannya kerana ditandatangani oleh dirinya sendiri. Tarikh yang tertulis pada lukisan itu adalah hari yang sama sewaktu saya mendaftar untuk mengikuti seminar penulisan dahulu. Sudah sekian lama, baru hari ini lukisan itu diserahkan kepada saya. 
     Apakah maksud di sebalik lukisan itu? 
     Perasaan saya teruja untuk melihat kembali lukisan yang diberikannya. Saya yakin jawapan ada di dalam lukisan itu. Dia kemudian beredar dan meninggalkan saya yang masih terpinga-pinga. Setelah bayangnya tidak kelihatan lagi, saya memerhati dengan teliti setiap lakaran pensil pada lukisan itu. Dan, lakaran sebuah kedai yang terletak di atas bangunan tertulis papan tanda: Kedai Fiksyen Akim.    
       
        

 
 
Advertisement