Anda di sini

Malaysia perlu bertindak balas kepada peningkatan fahaman perlindungan makanan, tingkat pembangunan pertanian

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Peningkatan fahaman perlindungan makanan yang mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi di seluruh dunia sekali lagi menunjukkan akan perlunya untuk membuat pelaburan jangka panjang yang lebih berfokus dalam pertanian dan penyelidikan berasaskan makanan di Malaysia untuk melindungi ekonomi domestik dan bekalan makanan negara. 

Hanya dengan berbuat demikian barulah Malaysia boleh mengurangkan jumlah import makanannya. Pergantungan tinggi kepada makanan diimport menyebabkan negara menanggung jumlah import tahunan bernilai lebih daripada RM50 bilion dan ia semakin meningkat.

Pergantungan negara kepada import makanan meningkat daripada RM51.4 bilion pada 2019 kepada RM55.4 bilion pada 2020 dan angka itu dijangka terus meningkat, demikian Ahli Ekonomi Pertanian Prof Datuk Dr M Nasir Shamsudin dipetik sebagai berkata. 

Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 adalah satu permulaan yang baik tetapi perlu dilakukan dengan efektif, cekap dan secara telus agar selepas tempoh lima tahun negara akan dapat menikmati lebih banyak hasil tanaman keluaran sendiri.

Negara perlu menetapkan matlamat untuk dapat menampung makanan sendiri dan tidak gentar dengan sebarang fahaman perlindungan makanan dalam tempoh jangka panjang. Ini juga boleh membantu menurunkan kadar inflasi negara yang meningkat  2.3 peratus pada April daripada tempoh yang sama tahun sebelumnya, disebabkan oleh harga makanan tinggi (4.1 peratus).

Kelestarian adalah masa depan 

Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah Dr Sarena Che Omar berkata Malaysia dilimpahi kepelbagaian organisma yang belum diteroka sepenuhnya dari segi nutrisi serta nilai komersial.

“Mengapa makan salad import yang tiada rasa dan mahal apabila kita mempunyai akses kepada begitu banyak ulam tempatan yang baik dan berperisa, namun lebih murah, lebih lestari dan banyak memberi manfaat kepada kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga makanan secara keseluruhannya telah meningkat seperti yang dapat dilihat dalam harga sayuran dan ayam itik.

Sarena berkata indeks harga makanan global yang dijejaki oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Mac menunjukkan ia lebih tinggi hampir 30 peratus bagi tahun ke tahun. Justeru, seluruh dunia mengalami inflasi harga makanan yang amat buruk.

Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Herizal Hazri berkata masalah jaminan makanan boleh berubah dengan mudahnya menjadi isu keselamatan negara.

“Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 merupakan strategi bagi menjamin sistem makanan kita pada masa depan. Ia meletakkan penekanan yang kukuh terhadap transformasi digital bagi memastikan sektor itu dapat memenuhi permintaan pada masa akan datang.

Merangkumi lima strategi teras, DSMN menggariskan 15 strategi dan 96 inisiatif bagi memastikan kemampanan bekalan makanan negara pada setiap masa, terutamanya ketika berdepan situasi yang tidak dijangka. 

“Matlamatnya adalah untuk membina sektor agro-makanan yang berdaya tahan, inklusif dan mampan yang bersedia untuk meredakan dan menguruskan krisis jaminan makanan dan gangguan rantaian bekalan agro-makanan,” menurut Herizal.

Beliau berkata keutamaan itu menjadi lebih buruk dengan pemanasan global yang mana kalangan pakar telah memberi amaran bahawa banjir “sekali dalam satu abad” pada tahun lepas semakin menjadi satu kebiasaan.

Sektor agro-makanan mencatatkan kerugian lebih RM67 juta akibat banjir pada Disember. Kos bencana alam sedemikian dan kesannya kepada pengeluaran makanan akan menjadi lebih buruk.

Pengajaran dari Qatar

Memetik Qatar sebagai contoh, Herizal berkata negara Timur Tengah itu yang mengimport 40 peratus barangan dan perkhidmatannya melalui Arab Saudi (sebelum krisis diplomatik meletus pada 2017) kini merupakan negara yang tidak bergantung kepada import dari segi tenusu.

Syarikat bernama Baladna kini memiliki satu daripada ladang lembu terbesar di rantau itu.

“Ia bermula dengan 4,000 lembu tenusu pada 2017 dan hari ini, ia mempunyai lebih 20,000 ekor lembu yang ditempatkan di kandang sejuk khas. Susu lembu diperah hari-hari menggunakan sistem pemerahan putar yang tercanggih bagi menyediakan pelbagi pilihan produk tenusu. Ladang itu juga dibuka kepada orang ramai, termasuk murid-murid sekolah, bagi melawat kawasan pemerahan susu. 

“Dua tahun selepas ia ditubuhkan, Baladna mengeksport produknya ke Afghanistan, Yaman dan Oman. Diwujudkan berikutan satu sekatan, syarikat itu memastikan Qatar beralih daripada bergantung kepada import tenusu kepada 100 peratus sara diri susu.”

Syarikat itu baru-baru ini telah menjalin kerjasama dengan FGV Holdings Bhd Malaysia untuk bersama-sama menubuhkan sebuah ladang tenusu bersepadu berskala besar dan terkini di Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

Subsidi tidak mampan

Pengguna kini menikmati subsidi yang tinggi dalam minyak masak serta bahan api, dan kerajaan sedang berusaha untuk menggantikan skim subsidi menyeluruh ini kepada yang disasarkan agar ianya tidak merugikan perbendaharaan.

Menurut Sarena, skim subsidi semasa tidak membezakan kumpulan pengguna dan ini bukan perkara yang baik.

"Kelemahan subsidi secara menyeluruh ini ialah ianya tidak membezakan golongan miskin serta kaya, perniagaan atau pengguna individu, mereka semua mendapat manfaat, contohnya subsidi makanan.

"Ini bermakna kerajaan melakukan pembaziran apabila wang disalurkan kepada penerima yang tidak sepatutnya. Penyelesaian terbaik adalah memperkukuh dan memperluaskan bantuan berasaskan tunai yang disasarkan seperti program bantuan makanan MyKASIH-PRIHATIN yang secara khusus menjurus hanya kepada golongan B40," katanya. 

Sarena berpendapat bahawa jika kumpulan yang lebih besar disasarkan, kerajaan boleh mengembangkan bantuan itu kepada kumpulan pendapatan B50 atau B60.

Salah satu keterbatasannya, adalah pangkalan data sedia ada kerajaan mungkin tidak memasukkan kesemua golongan dan ada kemungkinan wujud komuniti yang tercicir dan tidak berdaftar yang mungkin akan menyebabkan mereka ditinggalkan.

Sehingga itu berlaku, kerajaan dijangka mengeluarkan jumlah subsidi yang lebih tinggi tahun ini kepada RM71 bilion, manakala subsidi petrol sahaja akan mencecah RM30 bilion di tengah-tengah kenaikan harga minyak mentah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata semasa Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland baru-baru ini.

Subsidi yang lebih tinggi telah menyebabkan kadar inflasi teras yang lebih rendah pada 2.3 peratus dan ia dijangka mencapai 3.2 peratus tahun ini. 

Ahli-ahli ekonomi juga ada mencadangkan dalam jangka masa panjang, kerajaan mungkin perlu menghentikan program subsidinya apabila ekonomi berkembang dengan stabil, kadar pengangguran semakin berkurangan dan pekerja menerima upah yang lebih baik.

Jabatan Perangkaan: Import makanan tinggi tingkatkan defisit perdagangan

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bahagian sektor pertanian daripada keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2020 adalah 7.4 peratus daripada 28.8 peratus pada 1970.

Malaysia mengimport 60 peratus daripada makanan negara. Pada 2020, Malaysia mengimport  produk makanan bernilai RM55.5 bilion berbanding eksport bernilai RM33.8 bilion.

Kebergantungan import Malaysia terhadap komoditi pertanian bagi memenuhi permintaan domestik meningkat kepada 13.7 peratus daripada 7.3 peratus dalam tempoh 28 tahun (1987-2015).

Peningkatan import yang lebih pantas berbanding eksport telah membawa kepada peningkatan defisit perdagangan produk makanan berjumlah RM21.7 bilion pada 2020, meningkat 24.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan,  import makanan negara berjumlah sebanyak RM482.8 bilion dalam tempoh 10 tahun lepas, manakala eksport sebanyak RM296 bilion.

Melangkaui sempadan

Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah memberi amaran bahawa perang di Ukraine mewujudkan krisis pertanian yang tidak pernah berlaku sejak Perang Dunia Kedua.

Malah sebelum perang bermula pada Februari tahun ini, rantaian bekalan makanan global sudah pun terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan bencana alam lain, ia mengganggu keseluruhan rantaian bekalan.

Ia telah menaikkan harga komoditi dan harga kos kepada perniagaan yang disalurkan kepada pengguna yang terpaksa membayar lebih tinggi untuk makanan ruji dapur iaitu beras, gandum, ayam, itik, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sejak bermulanya perang Ukraine, sekurang-kurangnya 30 negara telah mengambil langkah untuk menyekat eksport makanan dengan melaksanakan dasar perlindungan pertanian pada tahap tertinggi sejak krisis harga makanan pada tahun 2007 dan 2008, kata Ketua Komoditi Fitch Solutions Sabrin Chowdhury.

Negara termiskin adalah yang paling terjejas kerana negara berpendapatan tinggi melihat rakyat meningkatkan perbelanjaan mereka untuk makanan dalam persekitaran kos sara hidup yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, negara-negara di wilayah Sahel di Afrika terpaksa melihat rakyatnya mati kelaparan akibat kekurangan makanan terutamanya disebabkan oleh perang di Ukraine.

Program Makanan Sedunia menganggarkan kira-kira 811 juta orang akan tidur dalam keadaan lapar pada waktu malam dan 49 juta orang menghadapi tahap kecemasan kelaparan, ia 10 kali lebih tinggi daripada tahap sebelum pandemik.

Hidup di zaman fahaman perlindungan makanan

Walaupun Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memberi jaminan bahawa bekalan makanan di negara ini tidak mencapai tahap krisis, adalah penting bagi rakyat Malaysia menyedari isu itu dan mengambil kira kesannya.

Tidak perlu lagi berfoya-foya dan jika boleh, pilihlah barangan buatan tempatan kerana ini akan membantu menjana lebih banyak pendapatan kepada negara yang kemudiannya akan disalurkan kembali kepada rakyat.

Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana mereka tinggal di negara beriklim tropika yang menghasilkan banyak sumber semula jadi seperti minyak sawit, getah, koko, lada, bijih timah, petroleum, kayu balak dan tembaga.

Malaysia juga dinamakan antara ekonomi yang memperoleh keuntungan besar daripada harga komoditi yang tinggi dan membayar harga yang lebih rendah dari segi inflasi kerana ia mengeksport lebih beberapa kali ganda daripada pengeluaran domestiknya, kata Moody’s Analytics.

Di bawah Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan RM4.82 bilion kepada MAFI, yang mana RM3.28 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.54 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. - BERNAMA 

Advertisement