Anda di sini

Perubahan tarikh SUKMA tidak jejas persiapan atlet Sarawak

Advertisement
Abdul Karim (tiga kiri) dan (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Morshidi Fredrick, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee, Ketua Spartan Global Michael Godwin (tiga kanan) bersama pemenang Elite Kategori Lelaki dan Wanita. – Gambar Chimon Upon
Abdul Karim (tiga kiri) dan (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak Morshidi Fredrick, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee, Ketua Spartan Global Michael Godwin (tiga kanan) bersama pemenang Elite Kategori Lelaki dan Wanita. – Gambar Chimon Upon

KUCHING: Perubahan tarikh Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur tidak akan menjejaskan persiapan atlet Sarawak menghadapi temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana Sarawak telah membuat persiapan sejak dua tahun lalu.

“SUKMA 2022 telah diawalkan dua minggu iaitu pada 16 hingga 24 September. Tarikh 16 September itu sendiri amat bermakna kerana ia juga merupakan sambutan bagi Hari Malaysia.

“Kita akan cuba sedaya upaya untuk menjadi juara keseluruhan SUKMA tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Spartan Race Sarawak 2022 di Leadership Institute Sarawak di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, beberapa atlet Sarawak telah menjalani latihan di luar negeri sejak setahun lalu.

“Sebenarnya, pasukan pelumba basikal kita berpangkalan di Semenanjung Malaysia dan mereka berlatih di velodrom di sana yang saya percaya mereka juga mampu memberi keputusan yang baik untuk pasukan berbasikal trek kita.

“Walaupun kita telah merancang untuk membina velodrom di Sarawak dalam masa terdekat, tetapi kita tahu untuk SUKMA, kita perlu menghantar atlet kita untuk berlatih di luar negeri,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, Sarawak juga sedang menganjurkan Spartan Race Sarawak 2022 pada 11 dan 12 Jun, diikuti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dari 17 hingga 19 Jun dan Festival Jazz Borneo dari 25 hingga 27 Jun.

Spartan Race Sarawak disertai hampir 2,000 peserta dari Sarawak dan Brunei, Indonesia, Thailand, Australia, Filipina, Afrika Selatan, Jepun, Korea, Maldives, Australia dan United Kingdom. 

Menurutnya, Kuching International Marathon juga bakal berlangsung pada Oktober depan yang dijangka disertai  lebih 10,000 pelari dengan dua pertiga daripadanya dari Sarawak.

“Biasanya, Kuching Marathon diadakan pada minggu kedua Ogos setiap tahun, tetapi disebabkan ketidaktentuan situasi COVID-19, acara itu telah ditunda ke Oktober,” jelasnya.

Acara yang juga akan dianjurkan pada Oktober tahun ini ialah Regata Sarawak yang merangkumi Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa.

Turut hadir Pengerusi Penganjur Spartan Race Sarawak 2022 Carter Wei.
 

  • oleh
  • Advertisement