Anda di sini

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian untuk kepentingan masa depan anak-anak kita 

Advertisement
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Oleh Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz 
 
SEMASA saya membentangkan pendapat saya di salah satu sesi di World Economic Forum pada hujung bulan Mei, saya menyatakan bahawa manusia sentiasa bergelut untuk mencapai keseimbangan antara keuntungan jangka masa pendek dan pulangan jangka panjang kerana naluri kita sentiasa cenderung untuk memilih kepuasan serta-merta.

Oleh itu, tidak mudah untuk meyakinkan orang ramai untuk bertindak sekarang bagi kesenangan masa depan, walaupun manfaatnya sangat jelas. Jika ianya semudah itu, semua orang akan menjual insurans! 

Semasa saya menjadi CEO sebuah bank serantau, saya sentiasa membentangkan perspektif jangka panjang kepada pemegang saham kami.

Pemegang saham lazimnya lebih cenderung kepada pandangan jangka pendek, yang boleh menyukarkan pelaksanaan rancangan penstrukturan semula yang mengambil masa berbilang tahun. 
 
Apabila berada di dalam Kerajaan, tanggungjawab untuk meyakinkan pihak berkepentingan tentang pemikiran jangka panjang ternyata berpuluh kali lebih sukar, terutama sekali apabila berjuta-juta nyawa dan mata pencarian terancam akibat pandemik.

Tekanan inflasi semasa disebabkan oleh faktor luaran meningkatkan lagi kebimbangan jangka pendek. 

Tiada formula atau panduan bagi mengharungi situasi ini untuk mengimbangi seratus peratus antara keperluan semasa dan masa hadapan.

Sebagai penggubal dasar yang bertanggungjawab ke atas kewangan negara, Kementerian Kewangan (MOF) mesti membuat pertimbangan berdasarkan pelbagai faktor dan kepentingan yang saling bersaing. 

Penggubalan dasar yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa sebarang langkah adalah berbaloi dan menghasilkan pulangan yang baik, sama ada dalam 
jangka masa panjang atau segera. Namun apabila COVID-19 melanda - meragut lebih enam juta nyawa, menjangkiti lebih setengah bilion populasi dunia dan meranapkan pelbagai aspek ekonomi - Kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia, tidak mempunyai pilihan selain memberi tumpuan kepada langkah bantuan jangka pendek untuk rakyat masing-masing, terutamanya golongan miskin dan mudah terkesan. 

Di Malaysia, mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan yang terjejas diberikan bantuan melalui lapan pakej rangsangan dan bantuan nasional yang bernilai keseluruhan sebanyak RM530 bilion.

Penggunaan rizab negara untuk melaksanakan vaksinasi segera dan kritikal untuk 32 juta rakyat Malaysia juga bermakna Kerajaan terpaksa menangguhkan beberapa rancangan pembaharuan fiskal dan jangka panjang. 

Tetapi saya sentiasa mengingatkan rakan sekerja di MOF bahawa krisis juga membuka pelbagai peluang untuk melaksanakan agenda reformasi fiskal. Sebenarnya, inilah masa yang terbaik untuk sebuah titik tolak yang baharu atau ‘the Great Reset.’ 

Sejak 2020, MOF telah menumpukan kepada pembinaan daya tahan sosioekonomi supaya rakyat dan perniagaan kita boleh bangkit semula dengan lebih kukuh berbanding sebelum ini, lebih-lebih lagi sekiranya krisis seperti COVID-19, atau yang lebih serius, datang melanda di masa hadapan.

Apa yang penting ialah pengukuhan daya tahan fiskal, kerana tanpanya kita tidak akan mampu untuk membantu rakyat kembali pulih dan berkembang maju. 

Untuk membina asas bagi pembaharuan jangka panjang melalui keputusan yang dibuat pada hari ini, MOF dipandu oleh tiga prinsip utama: Responsif, Bertanggungjawab dan Reformis.

Seboleh-bolehnya, pelbagai dasar adalah berasaskan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (Environmental, Social and Governance atau ESG), serta pertimbangan matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goals atau SDG). 

Oleh itu, langkah-langkah Responsif jangka pendek yang dikendalikan oleh MOF juga mesti memenuhi kriteria Bertanggungjawab.

Dalam tempoh dua tahun yang lalu, kami juga telah memetakan kebanyakan langkah belanjawan terhadap SDG tertentu untuk memastikan kesejahteraan masa depan negara. 

Satu contoh yang baik ialah dasar untuk meluaskan liputan program perlindungan sosial, kepada kumpulan yang lebih terdedah seperti ibu tunggal dan sektor tidak formal/gig.

Di bawah bajet tahun ini, Kerajaan juga memperuntukkan RM80 juta untuk melanjutkan perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu daripada risiko hilang upaya, sakit, atau usia tua melalui KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Semua ini adalah keputusan dasar semasa untuk kesejahteraan masa depan Rakyat. 

Satu lagi contoh ialah bagaimana kita berjaya mendaftarkan kebanyakan golongan B40 dan M40 ke dalam sistem apabila kita mula memberikan bantuan tunai langsung pada tahun 2020-2021.

Ramai penerima berasa lega kerana bantuan dikreditkan terus ke dalam akaun bank mereka.

Untuk langkah bantuan langsung yang seterusnya, kita telah menggunakan pangkalan data pusat yang sama, yang sentiasa dikemas kini dan disemak silang terhadap data 27 agensi Kerajaan untuk meminimumkan ralat dalam pelaksanaan dasar masa hadapan.

Langkah-langkah seperti Latihan Semula dan Peningkatan Kemahiran HRD Corp juga adalah berdasarkan pandangan jangka sederhana dan jangka panjang kerana penting untuk kita mengekalkan kemahiran seseorang walaupun semasa mencari pekerjaan.

Jika tidak, kemahiran yang hilang akan lebih sukar untuk dipupuk kembali kemudian. 

Walaupun kami bersikap Responsif dalam jangka masa pendek, MOF juga Bertanggungjawab dari segi fiskal.

Kami merancang untuk membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) kepada Parlimen menjelang akhir 2022.

Ianya akan turut merangkumi Strategi Hasil Jangka Sederhana dan prinsip panduan mengenai aspek-aspek seperti asas hasil yang lebih luas dan had hutang statutori.

Dari segi kewangan, sesebuah negara mesti diselia dan dikawal dengan ketat, supaya kita mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan program Reformasi yang sesuai dan memenuhi agenda ESG negara.

Semua ini, dan banyak lagi, juga telah dikongsikan dalam Kenyataan Pra-Bajet yang diterbitkan baru-baru ini, yang menetapkan keutamaan kami untuk Bajet 2023. 

Reformasi berlandaskan ESG mampu membina daya tahan sosioekonomi jangka panjang, dan ini adalah pertahanan yang terbaik terhadap kejutan dan pandemik masa depan.

Malah, usaha negara ke arah kelestarian telah pun bermula dengan GLIC seperti Khazanah, KWSP dan PNB yang telahpun melancarkan rangka kerja dan sasaran kemampanan masing-masing.

Dari segi pembiayaan, sektor perbankan turut mempunyai Rangka Tindakan Sektor Kewangan baharu bagi lima tahun akan datang untuk menggalakkan pembiayaan yang menyokong, antara lain, matlamat kemampanan Malaysia. 

Walau bagaimanapun, komunikasi yang berterusan adalah penting untuk menyampaikan mesej bahawa pembangunan jangka panjang adalah seperti sebuah marathon, di mana kita perlu menyiapkan diri kita secara fizikal.

Untuk itu, kekukuhan fiskal adalah ibarat sebuah badan yang sihat untuk memulakan perlumbaan.

Reformasi adalah lebih sukar, umpana memotong anggota yang dijangkiti barah (contohnya, subsidi menyeluruh) dan menjalani kemoterapi (perbelanjaan yang bertanggungjawab) untuk kita terus hidup. 

Dalam menyesuaikan keperluan jangka pendek dan faedah jangka panjang, MOF sentiasa mencuba untuk mencari penyelesaian dasar terbaik yang akan memanfaatkan bilangan penerima terbesar dan mempertimbangkan kepentingan pelbagai pihak.

Setakat ini, saya percaya MOF telah membuktikan bahawa ia cukup Responsif untuk memastikan bukan sahaja kemenangan pantas atau ‘quick wins,’ tetapi juga kestabilan jangka sederhana dan perubahan jangka panjang yang Bertanggungjawab yang akan membantu kita menangani landskap yang sentiasa berubah untuk Reformasi yang berkekalan. 

Sudah pasti akan sentiasa ada cabaran di sepanjang jalan ke arah pembangunan mampan tetapi saya optimis bahawa terdapat ramai Keluarga Malaysia yang bertanggungjawab, dengan keazaman dan pandangan jauh, yang tidak mudah terpengaruh dengan pandangan jangka pendek dan populis yang boleh menjejaskan masa depan anak-anak kita dan generasi akan datang, InsyaAllah.

Bak kata pepatah, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. 
 

Advertisement