Anda di sini

Lubnan mulai tangani musim kebakaran hutan

Advertisement
 

BEIRUT: Pasukan penyelamat bergegas untuk memadamkan kebakaran liar di hutan pain terbesar Lubnan kelmarin, dan menurut pihak berkuasa kebakaran mungkin disengajakan, tatkala negara itu bersiap sedia untuk kebakaran lain pada musim panas.
Kebakaran di wilayah Dinniyeh utara bermula pada malam Selasa, menyaksikan tentera dan anggota bomba sukarela campur tangan dalam cubaan untuk menyelamatkan salah satu hutan pain yang paling subur di Timur Tengah.
Tentera berkata kelmarin mereka telah menghantar helikopter tetapi mereka masih bergelut untuk memadamkan kebakaran beberapa jam selepas ia bermula.
"Malangnya, musim kebakaran hutan bermula di hutan Batramaz di Dinniyeh," kata Menteri Alam Sekitar Nasser Yassin, yang melawat kawasan itu kelmarin.
"Ada kemungkinan kebakaran itu dicetuskan dengan sengaja," katanya, menggesa pihak berkuasa membuat siasatan.
Lubnan kini bergelut dengan krisis kewangan terburuknya dan tidak mempunyai kelengkapan dan keupayaan untuk memadamkan bencana hutan terbakar yang kian meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagiannya akibat peningkatan suhu oleh sebab perubahan iklim.
Negara yang dicengkam rasuah ini seringkali memerlukan bantuan asing ketika bencana.
Kekurangan pihak kerajaan telah menimbulkan kemarahan aktivis alam sekitar, yang memberi peringatan tentang kerosakan terhadap khazanah alam semula jadi negara.
"Semoga Tuhan mengampuni mereka yang tidak melantik pengawal hutan, yang mengabaikan kawasan hutan tanpa peralatan memadam kebakaran, dan yang mengabaikan pembangunan serta sokongan pertahanan awam," tulis aktivis alam sekitar Paul Abi Rached di media sosial.
Julai lalu, Lubnan mengambil masa beberapa hari untuk memadamkan kebakaran hutan yang menjilat hutan pain di utara, menyebabkan seorang anggota bomba sukarela berusia 15 tahun maut dan memaksa ramai orang melarikan diri dari kediaman mereka.
Pada tahun 2019, kegagalan kerajaan untuk membendung kebakaran hutan yang dahsyat telah menjadi pencetus gerakan protes di seluruh negara terhadap ketidakcekapan dan rasuah.
Para saintis telah memberi amaran bahawa cuaca melampau dan kebakaran akan menjadi-jadi ekoran pemanasan global buatan manusia. – AFP 

Advertisement