Anda di sini

Kereta rempuh remaja, guru maut di Berlin

Advertisement
 

BERLIN: Seorang lelaki Jerman-Armenia memandu ke arah orang ramai di kawasan beli-belah sibuk di Berlin kelmarin, melanggar sekumpulan remaja dan membunuh guru mereka sebelum merempuh tingkap kedai.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 10.30 pagi di seberang Breitscheidplatz, di mana sebelum ini kumpulan Islamic State (IS) sengaja merempuh trak di pasar Krismas pada tahun 2016 dan membunuh 12 orang.
Puluhan orang cedera dalam kejadian kelmarin termasuk enam yang masih dalam keadaan kritikal, kata pasukan kecemasan.
Masih belum jelas sama ada kemalangan itu disengajakan dan pemandu, 29, sedang disoal siasat, kata pihak polis.
Renault Clio berwarna perak dengan nombor pendaftaran Berlin itu mulanya dipandu di kaki lima di Tauentzienstrasse dan Rankestrasse, melanggar kumpulan pelajar sekolah menengah yang sedang dalam perjalanan ke kelas, sebelum kembali ke jalan raya.
Ia kemudian merempuh bahagian depan kedai di Marburger Strasse kira-kira 150 hingga 200 meter dari tempat kejadian pertama.
Seorang guru wanita yang menyertai kumpulan dari sekolah di Bad Arolsen itu maut manakala seorang guru lelaki cedera parah, menurut kerajaan negeri Hesse dalam satu kenyataan.
Pemandu itu seterusnya ditahan orang ramai sebelum diserahkan kepada polis selepas kereta itu merempuh bahagian depan kedai.
Ketua polis Berlin Barbara Slowik berkata, pemandu itu kini berada di hospital dan buat masa ini, belum ada bukti berkaitan tindakan politik.
Frank Vittchen, seorang saksi di tempat kejadian, memberitahu bahawa dia sedang duduk di air pancut berhampiran ketika dia mendengar bunyi kuat dan kemudian melihat seseorang terpelanting di udara.
Kenderaan itu dipandu pada kelajuan tinggi dan tidak membrek, dengan tingkap kereta yang pecah akibat impak, katanya lanjut.
"Semuanya berlaku begitu cepat," tambahnya lagi.
Seorang lagi saksi, F. Kacan memberi kenyataan bahawa pemandu itu telah melajak keretanya ke sebuah kedai minyak wangi, dan kemudian meluru ke jalan raya dan dihentikan orang awam.
Kerajaan Jerman sangat bimbang dan terkejut dengan insiden mengerikan di Berlin, sambil menambah bahawa mereka bersimpati dengan mangsa dan keluarga. – AFP

Advertisement