Anda di sini

Kereta api tergelincir di Iran, puluhan cedera ketika 21 kematian disahkan setakat ini

Advertisement
 

TEHRAN: Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan puluhan lagi mangsa cedera apabila sebuah kereta api tergelincir berhampiran bandar Tabas, Iran kelmarin selepas melanggar sebuah jengkaut di sebelah landasan, lapor media negara.
Kereta api itu dalam perjalanan dari bandar Mashhad ke bandar Yazd dan membawa 348 penumpang ketika ia terkeluar dari landasan pada jam 5.30 pagi, menurut pihak berkuasa kereta api nasional.
Ketua organisasi kecemasan wilayah Yazd Ahmad Dehghan berkata, 21 orang terbunuh dalam kejadian itu.
Terdahulu, jurucakap pasukan kecemasan Mojtaba Khaledi memberitahu televisyen negara bahawa 86 orang cedera.
Khaledi telah menyatakan bahawa jumlah mangsa yang maut mungkin meningkat, memandangkan beberapa orang yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Sejumlah 24 ambulans dan tiga helikopter telah dikejarkan ke tempat kejadian, katanya.
Tabas terletak di wilayah Khorasan Selatan, kira-kira 900 kilometer dari Tehran.
Badan kehakiman wilayah berkata, waran tangkap telah dikeluarkan ke atas enam orang yang disyaki ada kaitan dengan kemalangan itu.
Kereta api itu tergelincir selepas melanggar jengkaut yang berada berhampiran landasan, kata Mir Hassan Moussavi, timbalan ketua kereta api negara Iran.
Pasukan penyelamat memeriksa gerabak yang terbalik sambil orang ramai berkumpul di kawasan berhampiran.
Salah satu gambar menunjukkan jengkaut kuning di tepi landasan.
Lima daripada 11 gerabak kereta api itu keluar dari landasan, menurut ketua operasi kecemasan Bulan Sabit Merah Iran Mehdi Valipour.
Menteri Pembangunan Jalanraya dan Bandar Rostam Ghassemi memohon maaf kepada rakyat Iran di Twitter dan berkata kementeriannya bertanggungjawab di atas kejadian itu.
"Melanggar jengkaut adalah punca utama kemalangan itu," kata Ghassemi, sambil menambah bahawa laporan awal menunjukkan bahawa pemandu hanya sempat membrek selepas melanggar kenderaan yang menghalang landasan.
Pada tahun 2016, dua kereta api bertembung lalu terbakar di utara Iran, membunuh 44 orang dan mencederakan puluhan mangsa.
Pengerusi kereta api Iran ketika itu terus meletak jawatan selepas empat kakitangannya ditangkap susulan kemalangan di laluan utama antara Tehran dan bandar kedua Mashhad. – AFP 

Advertisement