Anda di sini

Idea, Hoogendoorn tandatangani perjanjian teknologi pertanian pintar

Advertisement
 Dr Ronald (berdiri tengah) menyaksikan majlis tandatangan kerjasama dengan Hoogendoorn Growth Management sambil disaksikan oleh Timbalan Duta Belanda ke Malaysia, Eva Oskam.
SAKSIKAN: Dr Ronald (berdiri tengah) menyaksikan majlis tandatangan kerjasama dengan Hoogendoorn Growth Management sambil disaksikan oleh Timbalan Duta Belanda ke Malaysia, Eva Oskam.



KUALA LUMPUR: Perkembangan digital hari ini bakal memudahkan pengurusan pertanian dan sekaligus mampu untuk membantu meningkatkan hasil keluaran tanaman petani dengan lebih produktif menerusi amalan pertanian persis pintar.


Ia juga mampu meningkatkan pendapatan negara disamping mengurangkan permasalahan terutamanya aspek sekuriti makanan negara dan meningkatkan kemahiran modal insan.


Pengarah Urusan Idea Company Sdn Bhd, Zachary Aman berkata, faedah penggunaan teknologi pertanian pintar ini akan memberikan impak pengeluaran makanan lebih besar, meningkatkan pendapatan petani, penggunaan sumber dan input pertanian yang lebih cekap seperti air, tenaga, benih dan baja.


“Ia juga akan mengurangkan kebergantungan dan keperluan tenaga kerja dan pemahaman lebih baik tentang proses mengusahakan tanaman.


“Melalui penggunaan teknologi pertanian persis pintar, keperluan tanaman mampu dipenuhi pada masa yang ditetapkan dengan jumlah yang betul dan ukuran tepat. Hasilnya lebih berkualiti serta kawalan risiko lebih baik,” kata Zachary.


Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan Hoogendoorn Growth Management yang disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiande dan Timbalan Duta Belanda ke Malaysia, Eva Oskam hari ini.


Menurut Zachary lagi, dengan penggunaan teknologi persis pintar seperti Internet of Things (IoT), perkhidmatan bersambung dan sistem autonomi bakal menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi golongan petani yang mengunakan kaedah tradisional.


“Ketepatan ini membantu petani dapatkan hasil lebih banyak, dan mengurangkan masalah pertanian yang tidak dapat diselesaikan dengan kaedah tradisional.


“Kerjasama teknologi dengan syarikat Hoogendoorn Growth Management dari negara Belanda ini mengukuhkan keinginan Idea Company untuk menambah baik dan menggalakkan penggunaan alat pertanian pintar di kalangan petani bagi mengoptimum pengeluaran menggunakan teknologi terkini,” katanya.


Zachary berkata, kerjasama ini membolehkan petani Malaysia lebih bersedia mengurus mekanisme operasi penting dalam pertanian tanpa perlu membuat agakan dan mengurangkan kebolehubahan.


“Ini dicapai dengan menggunakan data dan maklumat empirikal untuk membantu petani tempatan memahami hubungan antara pembolehubah dan output.


“Aspek-aspek ini menyumbang kepada gambaran lebih besar tentang pertanian pintar dan peranan utama yang dimainkannya dalam usaha negara mencapai sekuriti makanan,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement