Anda di sini

Gadis OKU dipercayai jadi mangsa rogol bapa tiri dan lelaki warga asing

Advertisement
 

JULAU: Seorang gadis kurang upaya (OKU) berusia 14 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol bapa tirinya dan seorang lelaki warga asing di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam Sulin berkata, laporan berhubung dakwaan kejadian itu diterima pada 5 Jun lepas daripada ibu mangsa.

"Pada 4 Jun jam 6.45 petang, ibu mangsa mengesyaki anak perempuannya telah dicabul oleh seorang lelaki warga asing dan terus membuat laporan polis.

"Hasil siasatan lanjut, mangsa dipercayai turut dirogol lelaki tersebut dan bapa tirinya sendiri.

"Berikutan itu, kedua-dua suspek ditangkap pada hari laporan dibuat oleh pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Julau," kata Andam dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu katanya, permohonan tahanan reman telah dibuat ke atas kedua-dua suspek untuk membantu siasatan lanjut polis.

"Pihak Mahkamah Sarikei telah meluluskan permohonan tahanan reman ke atas kedua-dua suspek selama tujuh hari di lokap Balai Polis Julau.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

"Manakala, bagi kesalahan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan," katanya.

Andam menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelaku jenayah kekerasan, terutamanya jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan berharap masyarakat bersama-sama bertanggungjawab dalam menangani jenayah rogol dan keganasan seksual secara efektif.

  • oleh
  • Advertisement