Anda di sini

Amber Chia akui pengalaman di Sibu amat istimewa

Advertisement
Chia (tengah) tertarik menerima lukisan lakaran kanak-kanak autisme yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Autisme Sibu, David Ngu (kanan) sambil diperhatikan Dr Toh.
Chia (tengah) tertarik menerima lukisan lakaran kanak-kanak autisme yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Autisme Sibu, David Ngu (kanan) sambil diperhatikan Dr Toh.

SIBU: Supermodel Malaysia Amber Chia berkata, projek video promosi bandar Sibu '48 Hours Sibu Raiders' adalah sangat istimewa baginya kerana dapat menikmati pengalaman dan menerokai Sibu dengan lebih mendalam.

Ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Agape Sibu hari ini, Chia berkata, beliau sudah beberapa kali ke Sibu untuk lawatan kerja namun tidak berpeluang untuk menerokainya.

"Setiap kali saya datang ke sini, hanya kampua dan sekarang apabila saya balik ke kampung halaman, banyak perkara yang ingin dikongsikan.

"Ini adalah perjalanan yang sangat istimewa untuk saya.

"Ini satu-satunya perjalanan yang saya benar-benar datang dan merasai pengalaman berada di Sibu termasuk melawat Pusat Agape ini.

"Begitu banyak tempat yang boleh anda pergi dan aktiviti yang boleh anda lakukan di Sibu.

"Saya bertanya kepada rakan-rakan saya di Sibu dan mereka tidak tahu itu, saya rasa saya boleh menjadi pemandu pelancong," guraunya.

Chia berada di Sibu untuk penggambaran video dokumentari promosi bandar Sibu '48 Hours Sibu Raiders' yang memaparkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Sibu.

Beliau berkata, Sibu mempunyai sungai terpanjang di Malaysia yang bersesuaian untuk aktiviti sungai.

Chia juga menyebut Universiti Teknologi Sarawak (UTS), satu-satunya universiti hijau di Asia Tenggara dan Pusat Agape Sibu sebagai satu pusat yang baik untuk mereka yang berkeperluan khas.

Semasa lawatannya ke Pusat Agape Sibu, beliau mengakui kagum dengan pasukan yang berusaha untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

"Ini adalah sebuah pusat yang cantik dan tersusun

"Kita bercakap tentang kanak-kanak berkeperluan khas dan kesukaran yang dihadapi ibu bapa dan usaha yang dilakukan oleh pasukan untuk membantu ibu bapa.

"Saya rasa kisah yang paling tidak dapat dilupakan ialah bagaimana Bengkel Memorial Tatsumi Kondo terhasil," ujarnya.

Chia berharap lebih ramai orang akan memahami dan memberi kasih sayang dan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas ini.

"Memberi sokongan tidak semestinya dari segi kewangan, tetapi mungkin dari segi sumbangan tenaga dan sokongan mental, menjadi sukarelawan atau menyertai acara yang berbeza di sini," katanya.

Sementara itu, pakar pediatrik Dr Toh Teck Hock menjelaskan bahawa Agape bermaksud cinta tanpa syarat dan ia merupakan hirarki cinta tertinggi yang boleh diberikan oleh sesiapa sahaja.

Beliau berterima kasih kepada Chia kerana meluangkan masanya melawat Pusat Agape Sibu dan memberi sokongannya kepada kanak-kanak dan ibu bapa.
 

  • oleh
  • Advertisement