Anda di sini

Penduduk 10 buah kampung rayu kerajaan baiki jalan raya rosak

Advertisement
 Becak dan berlubang antara kerosakan jalan di laluan utama antara Kampung Togop Darat dengan Togop Laut ke Pekan Ranau.
TERUK: Becak dan berlubang antara kerosakan jalan di laluan utama antara Kampung Togop Darat dengan Togop Laut ke Pekan Ranau.

RANAU: Lebih 6,000 penduduk dari 10 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang merayu kepada pihak kerajaan agar membaiki kerosakan teruk di laluan utama antara Kampung Togop Darat dan Togop Laut yang terletak kira-kira 45 kilometer dari pekan Ranau.

Mantan Ketua Kampung Kampung Togop Darat, Halim Brahim memberitahu sudah menjangkau 40 tahun jalan itu belum pernah dibaiki dan keadaan ini menyusahkan penduduk untuk bergerak ke luar.

Katanya kekangan itu termasuklah menghantar hasil pertanian mereka ke pekan selain menghantar pesakit untuk memohon rawatan ke Hospital Ranau.

"Pernah ada kejadian membabitkan ibu mengandung yang hampir melahirkan anaknya di tengah jalan disebabkan masalah jalan raya yang berlumpur serta berlubang pada saiz agak besar, licin, berselekoh tajam, curam dan semua masalah ini bertambah buruk ketika musim hujan,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo semalam.

Beliau mewakili penduduk merayu kepada kerajaan supaya mengambil perhatian dan melaksanakan usaha sewajarnya bagi membantu menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya antara kampung yang menggunakan laluan itu ialah Kampung Togop Darat, Togop Laut, Nalampai, Tibabar, Lobou Kiyep, Kopuakan, Tumbalang, Kewiyan,  Karagasan dan Daramakon.

"Kami mohon kepada wakil rakyat di kawasan kami ini agar turut campur serta turun padang bagi melaksanakan sesuatu bagi mengatasi masalah serta kerosakan jalan terbabit,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement