Anda di sini

Keunikan Metafora dalam Puisi Abizai (Bahagian 2)

Advertisement
 

Oleh Jeniri Amir

ABIZAI sebagai penyair yang berbakat, begitu mahir mencipta dan mengadunkan unsur figuratif dalam bahasa seperti personifikasi, imej yang asli, menyusun rima, irama dan muzik. Beliau sedar, sesungguhnya, puisi yang mengabaikan aspek berkenaan pasti akan menjejaskan karya yang dihasilkan. Sedapat mungkin beliau mengelak daripada menghasilkan ungkapan dan baris yang klise. Sebaliknya, beliau berusaha untuk menghidangkan puisi yang menarik dan indah. Beliau menyedari hakikat bahawa walau sehebat apa pun tema dan persoalan yang diangkat, tidak akan timbul kesan kepuasan dan katarsis kepada pembaca sekiranya tema dan persoalan berkenaan tidak berupaya menimbulkan rasa nikmat dan keseronokan. Seyogia diingat, rasa nikmat itu sebahagian besarnya terletak pada bagaimana persoalan itu disampaikan dengan mengutamakan keindahan bahasanya.
Melalui stailnya yang tersendiri, pelbagai suasana, nuansa dan nada dapat dirasai dan ditangkap lewat puisi, sesuai dengan persoalan dan perasaan yang diungkapkan. Antara nuansa, nada, emosi dan suasana yang dapat dikesan melalui puisinya ialah sedih, duka, pilu, marah, risau, resah, gundah, kesal, syahdu, syukur, berharap, bersemangat, kesepian, menyindir, mengejek, memperli, riang, berserah, merayu dan gembira. Setiap sajak membawa nada dominan biarpun tidak dinafikan dalam sajak tertentu ada nada dan emosi yang bercampur. Maksudnya, suasana dan perasaan berubah dan berkembang misalnya daripada suasana sepi menjadi suasana kecewa, kemudian duka nestapa. Sebagai penyair yang teliti, beliau mampu mengukir dengan pahat bahasanya, dengan bantuan kreativiti, imaginasi, dan kepekaan yang halus. Perasaan tertentu ditentukan oleh persoalan yang dibentuk dan ditentukan oleh pemilihan diksi, ungkapan, baris dan keseluruhan teks puisi.
Yang jelas, beliau menyedari bahawa puisi bukan sahaja ditujukan kepada akal atau fikiran, tetapi juga perasaan atau hati. Jadi elemen pathos turut diberi perhatian dengan memanipulasikan unsur bahasa tertentu termasuk metafora, simile, diksi, personifikasi dan imej. Malah, seperti yang disebut sebelum ini, dalam membentuk metafora dan baris pun beliau amat sedar akan pentingnya muzik, irama, rima dan rentak diambil kira. Malah, bentuk dan baris puisi beliau adalah beragam, sekali gus memperlihatkan keragaman dan kepelbagaian tema, persoalan, nuansa, suasana dan emosi yang terkandung di dalamnya. Gubahan bunyi yang sesuai dan serasi bukan sahaja membantu dalam menyampaikan maksud, tetapi juga menimbulkan kesan estetika sehingga sedap dibaca.
Oleh sebab sikapnya yang antikelusuhan ungkapan, maka kita menemukan kesegaran, kekreatifan, keaslian dalam baris dan ungkapannya. Kebanyakan kiasan dan metafora berkenaan dikutip daripada persekitaran, alam yang subur dan diolah serta diadun dengan bakat yang tidak kurang subur dan sentiasa berkembang dan diasah melalui pelbagai ujian, percubaan dan penerokaan sempadan kemungkinan bahasa yang amat dikuasainya berkat minatnya yang begitu mendalam terhadap karya sastera sejak di bangku sekolah lagi. Alam sekitar dan pekeliling melalui imej kejap dan menarik menguasai baris, frasa dan ungkapannya. Boleh dikatakan hampir tidak ada puisi yang tidak disertai dengan imej dan metafora, malah sebahagian imej dan metafora dipetik daripada alam terbentang luas.
Penyair suka kepada alatan dan mekanisme perorangan, sungai, flora dan fauna yang diberikan elemen dan lakuan manusia, menyerlahkan keperibadian dan keunikan bakat dan stail peribadinya sebagai penyair, apatah lagi segala diksi dan imej serta metafora dan unsur jalinan penulisan lain dihiasi dan diteguhkan oleh ulangan dan permainan rentak dan bunyi untuk menyampaikan maksud dan pemikiran penyair. Kata-kata, imej dan unsur jalinan penulisan lain dianyam dan diadunkannya dengan cermat, baik dan berkesan bagi melukiskan persoalan, pemikiran dan perasaannya. Beliau penyair yang memikirkan dengan serius dan teliti tentang imej-imej yang hendak ditampilkan melalui barisnya. Maksudnya, beliau bukanlah penyair yang bertolak daripada ilham, imaginasi dan kreativiti semata-mata, sebaliknya, penyair yang berfikir serius dan tekun terhadap setiap diksi yang masuk ke dalam barisnya. Seperti seorang penulis prosa yang baik, penyair ini sentiasa mencari le mot juste, sesuatu diksi yang lebih baik, segar, berkesan dan berjaya berbanding diksi lain dan diksi itu tidak semestinya sesuatu yang luar biasa.
Melalui lambang, imej dan metafora tertentu, meskipun dalam sebahagian sajaknya terdapat kritikan termasuk terhadap pemimpin dan ahli politik dan mereka yang mengabaikan alam dan bahasa, namun pedang politiknya tidak begitu nampak, meskipun tidak dinafikan beliau menghunus pedang tajam terhadap pihak yang menjadi sasaran kritikannya. Di sinilah letaknya keupayaan penyair untuk mengkritik tanpa disedari oleh individu terbabit. Beliau berpendirian, sebagai penyair bukan bermakna beliau hanya perlu bermain enak di padang kata-kata, tetapi perlu juga terbabit sama dalam isu dan masalah bersangkutan masyarakat, rakyat dan negara. Alur pemikiran dan gelora perasaannya yang diadunkan dengan pelbagai imej, kata dan metafora serta unsur perpuisian yang lain sememangnya dapat dikesan. Penyair mengungkapkan kesedaran dan kekerdilan dirinya, terutama dalam kumpulan Sinar Benar (2015, Dewan Bahasa dan Pustaka).
Beliau melontarkan sejumlah metafora yang diangkat sebagai imej dan simbol yang mewakili sebahagian memori, episod, anekdot, autobiografi, dan cebisan pengalaman dan perjalanan hidupnya. Abizai ialah penyair moden dan kontemporari Malaysia yang menjangkau ke hadapan, bersifat futuristik, tetapi pada waktu yang sama kembali ke masa silam, alam kenangan waktu kecil, remaja dan pengalaman. Ketika bergerak secara horizontal untuk memahami alam dan manusia di sekitarnya, beliau tidak lupa menghubungkan dirinya dengan alam vertikal dan Penciptanya sebagaimana jelas terserlah dalam Sinar Kebenaran. Dengan bahasa segar, halus, kreatif dan peka, beliau melukiskan masa silam, masa kini dan masa depan. Selain itu, beliau turut mengungkapkan dunia luaran, tanpa mengetepikan dunia dalamannya, sekali gus memperlihatkan kerisauan, ketakutan dan kekhuatirannya.
Maksudnya, beliau bukan sahaja melukis dunia yang bergelora di luar dirinya, tetapi dunia dalamnya yang kompleks. Sesungguhnya, puisi beliau bukan sahaja ditujukan kepada akal dan fikiran, tetapi juga disasarkan kepada hati, jiwa dan perasaan sesuai dengan hakikat bahawa puisi perlu berimbang dari segi bentuk dan isi, serta fikiran dan perasaan. Sesungguhnya, penyair yang baik ialah penyair yang dapat membantu kita memahami kehidupan, persoalan hidup, persekitaran, manusia, Tuhan dan kewujudan diri yang kompleks. 
Berdasarkan tema dan persoalan yang diangkat dalam karyanya, beserta adunan dan penyampaian melalui baris-barisnya, jelaslah bahawa karya beliau ialah hasil renungan, tafsiran dan wawasannya tentang kehidupan, alam, masyarakat, persekitaran dan kebiasaan manusia. Dengan kata lain, dunia penyair bukan sahaja dunia dalam dirinya, tetapi juga manusia di sekitarnya, selain alam raya dan dunia pada keseluruhannya. Baik dunia realiti mahupun dunia imaginasi. 
Selain berbicara atau berdialog dengan dirinya, penyair juga berdialog tentang manusia di sekitarnya dan dengan alam raya. Sebagai penghuni alam raya dan dunia, seluruh dunia dan alam ialah sumber ilhamnya, termasuk Pencipta alam dan dunia ini. Singkatnya, tema, persoalan, isu, dan masalah yang dituangkannya dalam puisi beliau ialah kehidupan dan manusia dalam semua bentuk. Sudah pasti, tugas ini menuntut daya pemerhatian dan kepekaan yang tinggi, akal yang selalu berfikir dan hati yang selalu merasa untuk tersentuh sehingga lahirnya ilham dan idea sedemikian.
Metafora yang diukirnya terdiri daripada dua bahagian, iaitu temor, unsur yang dibandingkan dengan bahagian untuk membandingkan, iaitu wadah atau vehicle. Pemanipulasian kedua-dua unsur berkenaan berjaya bukan sahaja mengindahkan ungkapan tetapi kualiti puisinya. Bukan menghairankan, ada puisi beliau yang sarat dengan kehadiran metafora dari baris awal hingga akhir. Seyogia diingatkan, penggunaan dan penciptaan metafora dalam puisi beliau bukan dibuat sewenang-wenangnya, tetapi didapati bersandarkan pengetahuan, dan kesedaran penyair terhadap kerelevanannya dari segi bahasa, tema, persoalan dan imej keseluruhan yang membina puisi berkenaan sehingga kerap metafora dan imejnya berpadu dan terelak daripada citra yang bercampur aduk yang boleh menjejaskan mutu puisi.

 

Di tangan Abizai, metafora terasa relevan, segar, baharu dan tidak dipaksa-paksa tetapi sebati dan berasimilasi sejadi dalam puisi berkenaan. Dengan kemahiran, pengetahuan dan kesedaran berkenaan, beliau dapat memanfaatkan licentia poetica dengan berkesan dan menarik, termasuk dalam penggunaan metafora sehingga berlakunya inovasi dalam karyanya dan kerap meninggalkan konvensi. Penyimpangan yang dilakukannya melalui pelbagai jenis metafora memungkinkannya menghidupkan karya. Manipulasi yang dilakukan melalui metafora kreatif dan baharu kelihatan murni dan harmoni. Dalam sesetengah keadaan kita agak tersentak dan sekali gus kagum dengan penggunaan metafora dalam barisnya.
Jelaslah bahawa metafora yang beraneka merupakan satu daripada ciri atau tanda keunikan puisi Abizai. Namun, puisi bukan sekadar dibentuk dan dibangunkan oleh metafora. Unsur-unsur bahasa sastera yang lain juga turut memainkan peranan untuk mengindahkan dan mengangkat nilai estetika dan kualiti puisi beliau. Ini termasuk lambang, ulangan, hiperbola, simile, personifikasi dan ungkapan yang menarik menghampiri anafora. Hal ini membuktikan bahawa beliau memerah segala inti pengalaman, daya fikiran, imaginasi dan kreativitinya sebelum dapat menghasilkan ungkapan yang kreatif, segar, indah, tepat dan memikat selain tahan diuji zaman. Antara kutipan berkenaan ialah “sekumpulan pilu menerpa datang,” “ganas bak jerung,” dan “air mata bahasa pun mengalir hiba dihina”.
Keistimewaan dan keunikan gaya persajakan Abizai memang terserlah dalam puisi yang terkumpul dalam Membentuk Elok di Teluk Esok (2015, Dewan Bahasa dan Pustaka). Bukan sahaja metafora yang dibentuk oleh penyair ini menarik kerana kepelbagaiannya, tetapi juga kehadiran unsur susastera dan jalinan penulisan dan mekanisme bahasa yang lain seperti simile, perlambangan, irama, asonansi, rima, personifikasi, anafora, perulangan dan sebagainya. 
Ungkapan dan baris yang dicipta merupakan usaha untuk menangkap cebisan pengalaman dengan kata-kata yang bermakna dan tepat. Melaluinya kita dapat menilai dan mengetahui sikap, pendirian dan perspektif penyair. Beliau menyifatkan dirinya sebagai seniman, bahasa, penjaga dan ‘pengaya’ bahasa yang sentiasa mencuba untuk menghidangkan baris, ungkapan dan metafora serta personifikasi yang terbaik. Dengan itu, beliau dapat mengukir lukisan hidup dengan berus warna yang pelbagai. Kesungguhan, komitmen jitu, dan kreativiti memungkinkan beliau mencapai hasrat itu. Kejayaan daripada latihan yang ikhlas dan tanpa ragu menyebabkan beliau mampu menggarap pelbagai isu dan persoalan yang kelihatan mudah tetapi besar maknanya. Baris dan ungkapannya berjaya melukiskan buah fikirannya yang teratur dengan jelas, imaginasi dan kreativiti sekali gus memperlihatkan kemahiran dan keupayaan bahasanya.
Bagi saya, satu daripada tanda kehebatan penyair ialah kekreatifannya menggunakan metafora dalam karyanya. Tidak syak lagi, Abizai, dengan kekuatan bahasa dan imaginasinya, telah menganugerahi kita pelbagai metafora yang membantu untuk memperluas pengalaman dan memperkaya bahasa kita. Demi keberkesanan, beliau menggunakan gandingan kata abstrak dan konkrit untuk menjadikan metafora itu sesuai dan berkesan. Penggunaan metafora dalam puisinya merupakan satu daripada strategi beliau yang bukan sahaja menyampaikan maksud dan fikirannya, tetapi menimbulkan kesan keindahan. Kadang-kadang metafora, kiasan dan lambang digunakan sebagai unsur eufemisme bagi mengelakkan kesan langsung, berterus terang atau kasar termasuk ketika menyindir dan mengkritik.
Itulah sebabnya, sering didapati bahawa aspek rentak dan irama turut diberi perhatian serius ketika metafora dibentuk. Beliau sedar bahawa karya yang baik adalah seperti gubahan lagu dan muzik, dengan adunan bunyi dan lirik yang serasi dan indah. Abizai mengukirkan bunyi, rima, rentak diksi, metafora, simile dan barisnya dengan kepekaan seorang penggubah muzik sehingga barisnya menjadi begitu puitis. Malah, agak banyak puisinya dibina dengan menggunakan metafora hampir dalam setiap baris. Seperkara yang ketara, beliau cuba mengelak untuk menggunakan metafora yang sama. Ini bukan mudah. Kelainan dan keunikan metafora, sama juga dengan unsur-unsur lain, seperti imej, personifikasi, dan sebagainya adalah penting bagi mengelakkan kesan klise dan perulangan meskipun tidak dinafikan pasangan diksi awalan dalam metafora berkenaan ada kalanya sama, tetapi vehicle-nya sahaja yang berbeza bergantung pada konteks dan persoalan yang digarap. Misalnya, serai budi, serai sedar, ombak haloba, ombak kenangan, gua dendam, gua rahsia, gua istirahat, sinar benar, sinar cabaran, nanah duka, nanah amarah, angin iri hati, angin ria, cincin sejahteranya, cincin kekayaannya, padang kemakmuran, padang kebebasan, dan banyak lagi. 
Bagi penyair ini, metafora ialah cara halus dan berseni untuk menzahirkan maksud, selain menyerlahkan keindahan dan gaya kepenyairannya. Ribuan metafora diperkenalkan oleh Abizai, meliputi pelbagai jenis metafora termasuk metafora pohon, tumbuh-tumbuhan, pelangi, haiwan, bukit bukau, gunung ganang, lembah, agama, konflik, senjata, perjalanan, alam, kehidupan, kematian, api, angin, air, bunga, landskap, hari, malam, burung, kesihatan, cuaca, ikan, bangunan, pakaian dan sebagainya. Daripada pelbagai unsur bahasa yang dijalinkan dan dimanipulasikan dalam karyanya, tujuan akhir penyair adalah untuk menyampaikan fikiran dan pandangannya, serta membangkitkan emosi yang sesuai kerana elemen pathos juga penting diberi perhatian kerana puisi yang hanya ditujukan kepada akal, tanpa mempedulikan aspek pathos pasti akan menjadi karya yang kering dan kurang berkesan. 
Penyair ini telah mencapai tahap hebat (grand) dan sudah melangkaui tahap mudah (plain) dan sederhana (middle, mean) dalam berkarya. Penyair berbakat besar ini telah menggunakan stail hieratik dengan memanfaatkan bahasa figuratif, rhetorical figures, stilistik, konvensi dan inovasi lain yang dikaitkan dengan kesasteraan atau literariness yang berupaya mengangkat bahasa ke tahap yang melebihi tahap biasa. Beliau telah melangkaui tahap stail demotik yang dialaminya pada peringkat awal kepenyairannya.
Beliau bijak menjalinkan rhetorical tropes dan rhetrorical schemes dalam karyanya sehingga mampu mengeluarkan beliau daripada konvensi dan akhirnya menuju gaya hebat. Tema, persoalan, maksud dan fikirannya diadunkan dan diolah dengan rhetorical tropes dan rhetorical schemes yang segar, asli, inovatif dan kreatif sehingga berjaya mengangkat mutu karya berkenaan ke tahap tinggi. Rhetorical schemes merujuk kepada penggunaan susunan atau pola perkataan, dan bagaimana penyair menyusun urutan diksi yang memberi kesan kepada struktur baris dan ungkapan. Ini membabitkan antara lain, penggunaan anafora, paralelisme, amplifikasi, paradoks, kiasmus, dan lain-lain.
Penggunaan rhetorical trophes seperti imej, personifikasi, metafora, kiasan, hiperbola dan seumpamanya mengubah atau menukarkan sesuatu diksi, frasa atau ungkapan menjadi representasi sesuatu yang lain. Bagaimanapun, kedua-dua teknik berkenaan menyumbang kepada pelahiran makna yang bererti, mendalam, dan penuh makna, Seterusnya, sesuai dengan hakikat dan sifat puisi, makna tidak disampaikan secara literal dan langsung. Penzahiran idea, persoalan dan fikiran dengan menggunakan kedua-dua teknik berkenaan telah membantu penyair mencapai tujuannya berkarya. Kedua-dua teknik itu memberi tenaga dan warna kepada puisinya.
Rhetorical tropes dalam puisi beliau pula merupakan unsur jalinan penulisan atau bahasa figuratif yang membawa anjakan makna sehingga membawa kepada keunikan, ketaksangkaan atau kejutan, berbanding rhetorical schemes yang hanya berkaitan dengan pola diksi disusun. Apa-apa pun, kedua-dua aspek ini penting dikuasai dan diberi perhatian dalam puisi -- seperti yang telah dilakukan oleh Abizai dalam sebahagian besar daripada karya beliau.

 
 
Advertisement