Anda di sini

DMI Indonesia lancar program pendidikan untuk pelajar kurang berkemampuan

Advertisement
 

JAKARTA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), telah melancarkan program untuk membantu pelajar di Indonesia mengejar impian melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Malaysia.

Program itu bertujuan menyediakan pendidikan berkualiti dan peluang kepada pelajar yang tidak berkemampuan di Kampung Melayu, sebuah kampung di daerah Jatinegara, Jakarta Timur, untuk menyambung pengajian, kata Presiden DMDI dan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat DMDI Indonesia di sini, beliau berkata bank makanan untuk menyediakan makanan percuma kepada golongan yang memerlukan juga ditubuhkan semalam di kampung itu yang merupakan kampung angkat. 

DMDI juga bercadang untuk membawa balik manuskrip Melayu lama yang disimpan di luar negara termasuk di Timur Tengah.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Agama Indonesia Dr Zainut Tauhid Sa'adi dan Timbalan Presiden DMDI H. Syafruddin yang juga bekas Timbalan Ketua Polis Indonesia.

Ditubuhkan pada 2019, DMDI Indonesia kini mempunyai cawangan di 24 wilayah dan akan diperluas ke 10 wilayah lain tidak lama lagi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Zainut Tauhid Sa'adi menggesa Alam Melayu untuk terus aktif menyumbang dalam meningkatkan taraf hidup melalui ekonomi digital.

Beliau berharap mereka juga akan terus menyeru kepada keamanan berdasarkan keadilan sosial dan mengelakkan konflik yang boleh membawa kepada risiko negatif.

"Tamadun Melayu telah banyak menyumbang kepada tamadun dunia. Kita harap ada kesinambungan untuk masa kini dan akan datang," katanya.- BERNAMA
 

Advertisement