Anda di sini

Bapa ‘tampar’ buaya sebelum berjaya selamatkan diri

Advertisement
Kawasan yang dikatakan mangsa sedang membaik pulih rumah sebelum diserang reptilia terbabit.
Kawasan yang dikatakan mangsa sedang membaik pulih rumah sebelum diserang reptilia terbabit.

KUCHING: Nekad mengambil tindakan untuk 'tampar' buaya, lelaki berusia 56 tahun terselamat ketika berhadapan detik cemas apabila diserang seekor buaya dalam insiden yang berlaku di Kampung Tabuan Melayu, dekat sini pagi tadi.

Mangsa, Bohri Jali berjaya menyelamatkan diri daripada ancaman reptilia ganas itu ketika sedang membaik pulih rumahnya yang berada di tepi sungai perkampungan tersebut sekitar jam 10 pagi.

Mangsa terselamat daripada ancaman haiwan tersebut dengan bertindak menampar seekor buaya yang dikatakan 'anak buaya' dan bagaimanapun anggaran saiz haiwan berkenaan tidak dapat dipastikan.

Namun, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada akibat serangan tersebut dan telah mendapatkan rawatan susulan di klinik kesihatan berdekatan.

Sehubungan itu, ia menjadikan lelaki berkenaan mangsa terbaharu serangan buaya yang berlaku di Sarawak, tahun ini.

Bahagian dada mangsa yang mengalami kecederaan setelah bergelut dengan seekor buaya ketika sedang membaik pulih rumahnya di Kampung Tabuan Melayu, hari ini.
Bahagian dada mangsa yang mengalami kecederaan setelah bergelut dengan seekor buaya ketika sedang membaik pulih rumahnya di Kampung Tabuan Melayu, hari ini.

Menceritakan detik cemas itu, anak mangsa, Zairina Bohri, 25, memberitahu, sebaik mendengar jeritan ibu iaitu isteri mangsa, Shamsiah Narawi, dia terkejut lalu bertindak keluar untuk melihat keadaan bapanya.

"Saya mendengar jerita ibu, ‘Amoi, bapak kau kenak serang boyak ya!’ menyebabkan saya terkejut lalu melihat bapa saya yang ketika itu berada di bahagian luar rumah.

"Bapa saya sebelum diserang reptilia yang dikatakan 'anak buaya' terbabit ketika itu sedang membuat penambahbaikan bahagian luar rumah," katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, hari ini.

Katanya, mangsa yang tidak menyedari kehadiran haiwan berkenaan tiba-tiba diserang sebelum cuba bertindak memukul untuk menyelamatkan diri.

Susulan tindakan tersebut, buaya berkenaan melepaskan gigitannya dan lelaki terbabit berjaya menyelamatkan diri.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu berkata, beliau bersyukur kerana bapanya masih dapat menyelamatkan diri dari ancaman haiwan berkenaan dengan bertindak memukul buaya tersebut.

Anak buaya yang dikatakan menyerang mangsa dalam insiden berkenaan pagi tadi.
Anak buaya yang dikatakan menyerang mangsa dalam insiden berkenaan pagi tadi.

"Keadaan besar atau kecil saiz buaya itu tidak dapat dipastikan anggarannya, namun berdasarkan saiz ia merupakan 'anak buaya'.

"Bapa telah dibawa ke klinik kesihatan terdekat disebabkan ada kesan kecederaan di bahagian dada dan sebagai tindakan awal untuk mendapatkan rawatan susulan sebelum perkara tidak diingini berlaku terhadapnya (ayah)," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berharap agar bapanya ataupun sesiapa sahaja yang bekerja di kawasan sungai untuk lebih berhati-hati dan berwaspada akan kehadiran reptilia terbabit.
 

  • oleh
  • Advertisement