Anda di sini

Pegawai kanan polis cedera kereta bertembung ambulans

Advertisement
Keadaan kedua-dua kenderaan selepas terlibat dalam kemalangan di lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching hari ini.
Keadaan kedua-dua kenderaan selepas terlibat dalam kemalangan di lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching hari ini.

KUCHING: Seorang pegawai kanan polis cedera setelah kereta dipandunya bertembung dengan sebuah ambulans yang membawa pesakit dalam kemalangan jalan raya di lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak, Superintenden Bingkok John berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan sekitar jam 11.35 pagi.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu wanita berusia 45 tahun itu bergerak lurus dari Jalan Green menuju ke Batu Lintang.

“Bagaimanapun, kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah ambulans yang bergerak dari Sri Aman menghala ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menghantar seorang pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Bingkok, akibat kemalangan itu, pemandu kereta itu mengalami kecederaan luka di tangan kanan dan sakit di bahagian dada.

“Mangsa telah dihantar ke HUS untuk menerima rawatan lanjut.

“Ketika kejadian mangsa hanya seorang diri dalam kereta, manakala terdapat lima individu di dalam ambulans,” jelasnya sambil menambah, kesemua individu dalam ambulans tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, kes bagaimanapun masih dalam siasatan.
 

  • oleh
  • Advertisement