Anda di sini

Dayang Ferazlyn harumkan nama Sarawak dalam sukan memanah tradisional

Advertisement

MIRI: Dayang Ferazlyn Abang Sahari mengharumkan nama Sarawak setelah menjadi atlet wanita pertama negara membawa kejayaan dalam kejohanan memanah tradisional peringkat antarabangsa.

Ibu tunggal berusia 38 tahun, berasal dari Miri mendapat pingat gangsa kategori individu wanita dalam kejohanan Piala Conquest Fetih Kupasi kali ke sepuluh yang diadakan pada 27 hingga 29 Mei di Istanbul, Turki.

Beliau selamat tiba di sini dari Kuala Lumpur pada malam Khamis, disambut gembira oleh ahli keluarga dan rakan dari kelab Memanah Al- Muaqqabah Miri. 

Ferazlyn dan Firmanzidyzan Arias Yahaya adalah dua atlet dari Sarawak terpilih mewakili negara ke kejohanan itu. 

Ia merupakan kejohanan antarabangsa pertama disertai beliau sejak terlibat dalam sukan ini secara serius pada 2020.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau terlibat dalam pertandingan diadakan secara dalam talian.

"Tiupan angin adalah cabaran utama. Ia menjadikan pertandingan bertambah sukar, lebih-lebih lagi kami menggunakan anak panah buluh bukan anak panah moden. Ia (angin) menyebabkan kita sukar mengawal anak panah " jelasnya kepada pemberita yang turut menanti ketibaan beliau di lapangan terbang Miri. 

Dayang Ferazlyn menunjukkan piala dan pingat gangsa dimenangi di Piala Conquest Fetih Kupasi.
Dayang Ferazlyn menunjukkan piala dan pingat gangsa dimenangi di Piala Conquest Fetih Kupasi.

Untuk kejohanan ini, latihan terpaksa dilakukan pada bulan puasa di bawah matahari terik. 

Menurutnya, setelah berehat sekejap, beliau akan terus menjalani latihan untuk menyertai Islamic Solidarity Games (ISG) di Konya, Turki pada Ogos.

"Untuk Konya, kami perlu mengemukakan markah pada setiap minggu. Ada jurulatih terpilih untuk kami ke Konya kelak," jelasnya. 

Ibu kepada dua anak perempuan berusia 7 dan 10 tahun, berterima kasih kepada penaja serta sokongan moral dari kelab, jurulatih, rakan dan ahli keluarga yang membakar semangat untuk membuat yang terbaik. 

Selain pingat beliau membawa balik piala dan hadiah wang berjumlah 10,000 lira atau RM2600. 

Seramai 500 atlet dari 36 negara terlibat dalam kejohanan itu yang turut mempertandingkan acara memanah moden. 

Kejohanan tahunan ini dianjurkan sempena ulang tahun pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al Fatih pada 29 Mei 1453.

Pemilihan wakil Malaysia dibuat melalui kejohanan memanah tradisional SELEKTA yang diadakan setiap tahun di Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya dianjurkan Kelab Memanah Tradisional Cyberjaya (CYBERTRA).

Ferazlyn terpilih setelah menjuarai kategori wanita dalam pusingan kelayakan Selekta 6 Fetih Kupasi sempena Festival Memanah Sepang pada 5 Mac di Cyberjaya Sepang Selangor.

  • oleh
  • Advertisement