Anda di sini

20 projek JENDELA sedang dilaksana di DUN Tellian

Advertisement
 

MUKAH: Sejumlah 20 projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang dilaksana secara berperingkat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian ketika ini.

Menurut ADUNnya Royston Valentine, semua projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2023.

"Ia sedang dilaksanakan pada ketika ini dan dilaksanakan secara berperingkat," katanya kepada Utusan Borneo.

Menurutnya, projek JENDELA ini merangkumi pemasangan menara telekomunikasi dan juga pihak penyedia perkhidmatan komunikasi.

Melalui projek ini katanya, ramai penduduk bakal mendapat manfaat positif.

Ini kerana secara keseluruhannya talian komunikasi khasnya di DUN Tellian akan bertambah baik dan efektif.

Antara kawasan terlibat adalah hab pendidikan Mukah iaitu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah, Kaul Beach Resort, Sungai Baoh Chelum, Sungai Baoh Burak, Nanga Baoh, Kampung Patok, Kampung Penat, Rumah Jenuang, Kampung Petanak Hulu dan Rumah Imbat.

Manakala kawasan lain yang turut terlibat adalah Kampung Tellian Hulu, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ingkerbai, Rumah Tandang, Sungai Kemantan Baru Sebakong, Tanjong Pedada Sebakong, Rumah Layang, Rumah Mulong, SK Lubok Bemban, Sungai Sikup dan Rumah Matthew, Nanga Sikat.

Jendela dibangunkan kerajaan persekutuan sebagai platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan dilancarkan pada Mac 2021.

Ia melibatkan 128 projek teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta pendigitalan membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion dengan peruntukan 2021 sebanyak RM538.7 juta.

Advertisement