Anda di sini

Sumbang mahram dan amang seksual, bapa tukar pengakuan tidak bersalah

Advertisement
Tertuduh (tengah) menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini.
Tertuduh (tengah) menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching hari ini.

KUCHING: Seorang buruh kasar yang sebelum ini mengaku bersalah bagi dua pertuduhan sumbang mahram dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia 13 tahun, menukar pengakuannya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, 48, menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibaca semula oleh jurubahasa mahkamah di depan Hakim Maris Agan.

Maris kemudian menetapkan 30 Jun depan untuk pengurusan kes, selain memerintahkan tertuduh direman lanjut di Penjara Puncak Borneo. 

Mahkamah pada 27 Mei lalu menetapkan tarikh hari ini untuk sebutan semula kes dan hukuman terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah namun tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memilih untuk menukar pengakuan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua di bawah Sekyen 376B(1) Kanun Keseksaan, lelaki itu didakwa melakukan sumbang mahram iaitu merogol anaknya pada 28 Disember 2021, sekitar jam 8 pagi dan 8 malam di kediaman mereka sekeluarga di Lundu.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan boleh disebat.

Selain itu, tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa sama, dengan cara menjilat kemaluan dan meraba payudara mangsa juga pada hari dan di tempat sama, antara jam 8 pagi dan 8 malam. 

Pertuduhan pindaan itu dibuat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie.

Advertisement