Anda di sini

Musuh Pingirih

Advertisement
 

Oleh Clayton Robert

SEBELUMNYA, tembok budaya masih utuh seperti gagahnya Tembok Besar China ketika menghadapi serangan puak Mongol dan Manchuria ratusan tahun dahulu. Akan tetapi, sejak kepulangan Dr. Lijeng, keampuhan tembok budaya semakin goyah. Lelaki itu seperti musuh dalam selimut yang berjaya menyelonong masuk menerusi lubang kecil pada tembok. Dia membawa virus dari bandar ke kampung. Akibatnya, dinding tembok budaya mula lunyai dek dibantai bakteria perubahan yang dijunjung oleh Dr. Lijeng. Sedikit masa lagi, ia akan beransur-ansur runtuh satu-persatu. Malangnya, penduduk kampung berhasil dibuai oleh dakyah yang boleh menukar mawar menjadi duri. Tanpa Dr. Lijeng sedar, dia telah merempuh benteng pantang larang yang menjadi anutan semua penduduk kampung ini. Keruntang dan haru-biru kampung dibuatnya. Kedamaian mulai tergugat. Semuanya gara-gara ideologi konyol yang disebarkan sejak hari pertama Dr. Lijeng menjejakkan kaki di kampung.  
     “Mulai hari ini, tiada lagi pingirih. Semua pekerjaan harus diupah!” 
    Virus sekecil zarah yang dibawa pulang oleh Dr. Lijeng suatu ketika dulu, kini telah membiak dengan pantas dan menawan seluruh kampung. Apabila sudah menjadi amalan dan budaya, pasti sukar untuk dipulihkan seperti sedia kala. Budaya upah sudah menggantikan pingirih, kian membarah secepat merebaknya sel kanser di dalam tubuh pesakit. Tiada seorang pun yang mampu membendung kemaraannya. Setiap orang mengharapkan upah daripada apa-apa sahaja pekerjaan yang dilakukan. Semangat dan budaya bantu-membantu sudah seperti telur di hujung tanduk.  
    Sejak azali, nenek moyang Bidayuh mewasiatkan budaya pingirih secara turun-temurun. Tradisi yang cukup tinggi santun budinya. Bertunjang kepada pepatah, ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’. Pingirih merupakan budaya saling bantu-membantu yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Bidayuh di luar bandar, khususnya dalam bidang pertanian. Sumbangan tenaga akan dibalas dengan sumbangan tenaga juga. Pingirih dikira berdasarkan bilangan hari seseorang menyumbangkan tenaganya. Penglibatan penduduk kampung dalam aktiviti pingirih akan menjadikan kerja yang dilakukan lebih ringan dan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat. Pingirih seseorang perlu dibalas, sehari dibalas sehari. Falsafah ini menjadi batu asas kepada amalan pingirih yang disimpul mati dan ditanam jauh di kantung hati kaum Bidayuh. 
    Penduduk kampung terutamanya generasi tua mula menyuarakan kebimbangan tentang budaya pingirih yang berada di ambang kemusnahan. Mereka berkeras agar budaya upah itu dikekalkan agar khazanah nenek moyang tetap terpelihara. Jangan jadi anak cucu yang derhaka. Wasiat adalah amanah. Barang siapa yang menghancurkan amanah, dia pengkhianat bangsa.
    “Nunong!” 
    Suara itu memekik dari kejauhan lalu bergema mengitari pelosok warung kopi yang berada di tepi jalan besar. Nunong mengerling. Sosok orang tua yang memanggil namanya itu menapak menghampiri Nunong yang sedang asyik melamun. 
    Lelaki separuh abad itu mendengus kencang. Sapaan ketua kampung telah mengoyakkan kabus khayalan yang dilayarinya sepicing tadi. Lamunan indahnya semangat pingirih penduduk kampung beberapa tahun lalu bermain-main di peti memori. Bau ikan keli panggang, terung dayak bakar, keenakan pekasam ikan yang meliurkan yang dimakan beramai-ramai, diselangi dengan gurau senda menghilangkan rasa lelah menebas, menebang dan membakar huma secara berkumpulan... semuanya menjadi rencah utama masakan budaya dalam kuali pingirih

 

    “Nunong, kau sudah menebas huma?” ketua kampung menyentuh bahunya dengan lembut. 
    Kerusi plastik rona biru laut itu ditariknya. Dia duduk mendepani Nunong yang sedang menghirup kopi susu. Surat khabar Warta Borneo kelihatan terselak dipukul angin pagi. Nunong memang tidak pernah lupa membeli surat khabar sebagai santapan mindanya setiap hari. Menggigil tubuhnya andai sehari tidak membaca surat khabar. Nunong sememangnya kecanduan ilmu. Semangat yang kian luntur dalam kalangan masyarakat sekarang. Bagi Nunong, manusia yang benci membaca umpama tin kosong. Bunyinya kuat tapi isinya bolong. Alangkah bagus kalau kelompangan itu diisi dengan ilmu. Barulah suara akan padu dan bernas. 
    “Belum… Susah sekarang, Tok. Semuanya nak upah. Saya bukan mampu nak menggaji orang dalam jumlah yang ramai,” keluhnya.
    “Tiada siapa yang mahu pingirih lagi seperti dahulu...” 
    Bagaikan pucuk dicita, ulam pun datang. Belum sempat dia membuka gelanggang perbincangan, ketua kampung sudah terlebih dahulu bersuara.
    “Memang hal itu yang saya mahu bincangkan. Oleh sebab Tok sudah menjual, jadi saya mahu membeli. Kebelakangan ini, apabila saya mengajak beberapa orang penduduk kampung untuk pingirih. Mereka menumangnya. Namun, andai diberikan upah. Mereka bersetuju”.
    Ketua kampung menggeleng. 
    “Sejak kembalinya Dr. Lijeng ke kampung kita, dia memperkenalkan idea upah itu sehingga penduduk kampung menyisihkan pingirih yang selama ini kita amalkan. Saya memang tidak berpuas hati. Orang kampung sudah tidak mahu pingirih seperti waktu dahulu. Kebun-kebun sekarang sunyi sepi. Ini bahaya! Lama-kelamaan, silaturahim antara kita akan menjadi renggang. Jangan sampai retak menanti belah,” adu Nunong.
    Ketua kampung kembali menggeleng tanpa membalas hujah Nunong.
    “Tok kena pergi nasihatkan Dr. Lijeng. Adakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan isu ini. Orang berada tidak ada masalah untuk mengupah. Tetapi, orang macam saya yang miskin. Susah nak ikut rentak mereka.” 
    “Tak mengapa. Perkara ini akan dibawa ke mesyuarat kampung nanti. Sebenarnya, aku datang ni nak beritahu kamu sesuatu. Semalam pegawai SALCRA memaklumkan tentang projek pekebun kecil kelapa sawit itu akan segera dilaksanakan di kampung kita. Cuma menanti pemakluman untuk mengambil biji benih saja.”
    Pihak kerajaan negeri telah bersetuju menjalankan inisiatif projek pekebun kecil kelapa sawit di kampung mereka sebagai usaha untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk kampung. Pemilihan itu dibuat kerana budaya pingirih yang mereka amalkan sebelum ini telah menjadi sebutan masyarakat luar hingga ke pengetahuan pihak kerajaan. Kerajaan sedar bahawa orang Bidayuh di situ mampu melaksanakan program tersebut dengan jayanya. Kejayaan projek itu kelak akan menjadi perintis untuk ia dikembangkan di kawasan lain. 
    “Ah, lupakan saja!”
    “Kenapa pula? Kampung kita dipilih kerana pihak kerajaan percaya akan kekuatan budaya pingirih kita.” 
    “Saya sudah cakap tadi, Tok... pingirih sudah mati walaupun tidak bernisan,” ujar Nunong dengan nada suara kecewa.
    “Ya, Nunong berkata benar. Pingirih sudah pupus. Budaya ini sudah mati,” entah dari mana datangnya lelaki berbaju T hitam itu, tiba-tiba mencelah perbualan Nunong dan ketua kampung.   
    “Projek pekebun kecil kelapa sawit?” celah seorang lagi penduduk kampung yang turut berada di warung itu.
    “Benar, tapi ia akan menjadi projek ‘almarhum’ bak kata P. Ramlee,” balas Nunong. 
    Dia menyedari kehadiran Dr. Lijeng di situ. Tidak semena-mena, darahnya menyirap. Terasa seperti ada gunung berapi yang bakal meletus dalam dadanya. Hatinya memang sakit memandang wajah ‘rasa tidak bersalah’ Dr. Lijeng. 
    “Kenapa pula? Banyak manfaatnya andai penduduk kampung kita terlibat dalam projek mega itu. Tanah yang terbiar itu akan menjadi lubuk emas,” ujar pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang pembangunan itu. Dia berpura-pura tidak tahu. Seolah-olah sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. 
    “Budaya upah kau tu yang menjadi beban. Macam bangkai bernyawa di kampung ini. Kau masih belum sedar dengan arang yang sudah diconteng pada kanvas bangsa kita? Kau yang bunuh pingirih!” jerit Nunong yang sudah tidak dapat menahan luapan emosi. 
    Dia segera bangkit daripada posisi duduk. Suaranya mencanak tinggi dengan mendadak. Matanya membulat. Wajahnya tegang, memerah menahan amarah. Orang sekeliling mengerling mereka berempat dengan tajam.
    Aku sayang pingirih, desisnya jauh di sudut hati.
    “Kawal diri kamu, Nunong. Kamu tu timbalan aku. Jangan terlalu ikut emosi. Duduk. Tenangkan diri,” pujuk ketua kampung. 
    Nunong menurut kata. Dia menurunkan jari telunjuknya dari hadapan muka Dr. Lijeng. Dia kembali duduk dengan mendengus kencang. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Terasa terlerai segala beban yang dipikulnya di bahu. Sesungguhnya, dia tidak dapat menerima tindakan Dr. Lijeng yang berusaha untuk memadam pingirih daripada kamus hidup penduduk kampung. 
    Mujur ketua kampung lekas menenangkan Nunong. Jika tidak, pasti mereka berdua akan beradu lengan di warung. Dr. Lijeng terlihat sudah siap sedia untuk menghadapi sebarang serangan daripada Nunong. Nampaknya, dia benar-benar pejuang budaya. Dia menghela nafas sebaik Nunong kembali tenang.
    Ingatlah wahai orang terpelajar, kalau masuk ke kampung, masuklah seperti pepatah masuk dalam kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Bukan semua teori dan ilmu dapat dipraktik di kampung yang masih menyanjung tinggi budaya dan adat resam. Orang-orang tua harus ditemui dahulu. Bukan main redah macam ombak yang menepam pasir di pantai.
    “Aku membawa budaya upah. Orang-orang di bandar rata-ratanya begitu. Setiap pekerjaan harus diupah. Tiada yang percuma di dunia ini. Semuanya tentang wang. Aku rasa ini bukan masalah besar. Lagi pula budaya memang sentiasa berubah dengan peredaran zaman,” sambung Dr. Lijeng.
    “Kamu silap. Orang yang tenggelam timbul seperti kura-kura macam kamu saja yang cakap begitu. Kami di sini sudah cukup selesa dengan budaya pingirih ini sejak zaman-berzaman. Kamu saja yang terlalu takjub dengan budaya bertuhankan wang. Sekarang, kamu datang dan tanam pula budaya jelik itu di sini. Tak ubah seperti kacang lupakan kulit. Budaya sendiri dianaktirikan. Budaya orang disanjung dipuja,” balas ketua kampung.
    “Dunia semakin berkembang pesat. Kita juga harus bergerak seiring dengan peredaran masa. Jika tidak, kita akan terus ketinggalan daripada arus pemodenan negara. Usahlah terlalu kolot, seperti katak di bawah tempurung.” Dr. Lijeng masih enggan mengaku kesalahan. 
    Ketua kampung hanya menggeleng untuk sekian kalinya. Dr. Lijeng benar-benar keras kepala. Dia kelihatan sudah mengirap jati diri dan identiti.
    “Dr. Lijeng… budaya pingirih yang kamu ingin bunuh itulah yang membina semula empayar perniagaan ayah kamu yang masyhur itu. Semasa kedai ayah kamu terlibat dalam kebakaran, kami penduduk kampung yang pingirih untuk membantu dengan sukarela tanpa sebarang upah. Ya, mendiang ayah kamu pernah berusaha untuk membayar upah kami selepas perniagaannya kembali maju. Tapi, kami tolak atas prinsip pingirih. Barangkali, esok lusa pula hari kami...” jelas Nunong panjang lebar. 
    Dia bangkit dari kerusi lalu menapak pergi.

Glosari
Pingirih     budaya muafakat saling bantu membantu yang biasanya diamalkan dalam aktiviti seperti pembinaan rumah dan kerja-kerja pertanian. 

 
Advertisement