Anda di sini

Sukan Jombola diperkenal sebagai tarikan pelancongan sukan negeri

Advertisement
Abdul Karim sedang mencuba sukan Jombola pada perasmian acara tersebut di Dewan Serbaguna, Jalan Stadium di Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abdul Karim sedang mencuba sukan Jombola pada perasmian acara tersebut di Dewan Serbaguna, Jalan Stadium di Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sukan Jombola diperkenalkan ke Sarawak kerana berpotensi sebagai tarikan pelancongan sukan kepada negeri ini.

Demikian menurut Pengerusi Persatuan Jombola Negeri Sarawak Kennedy Chua Pai Ugon ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Jombola Sarawak 2022 di sini, semalam.

"Potensi sukan Jombola amat besar di Sarawak bukan sahaja kerana sukan ini senang dimainkan tetapi juga sebagai pelancongan sukan," katanya.

Bahkan pihaknya turut merancang agar Sarawak menjadi medan serta mencipta jenama kepada pembuatan alatan sukan, baju dan pembuatan barang dagangan bagi sukan terbabit.

Justeru katanya, pihaknya senang mengatur strategi yang berkesan bagi melaksanakan latihan bagi pembinaan empayar bagi melahirkan jurulatih dan pegawai teknikal bagi sukan Jombola itu.

"Sarawak akan menjadi 'power house' yang mana kita mampu menghantar wakil kita ke luar negara untuk mengadili pertandingan Jombola yang akan diadakan di sana kelak," ujarnya.

Program yang pertama sedang diteliti untuk dijalankan di Bintulu dengan penganjuran karnival serta klinik dan disusuli ke bandar-bandar utama lain selepas ini.

Kerjasama jitu bakal dijalankan bersama Majlis Sukan Sarawak, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) untuk mencapai golongan sasaran.

Sukan itu selamat untuk dimainkan oleh semua peringkat umur dan bakal dijalankan di bawah program anjuran kerajaan negeri seperti X-Tive Sarawak.

Jombola juga amat mudah dimainkan dengan raket khas dan bola busa sama ada di gelanggang sepak takraw atau badminton serta mengambil beberapa prinsip permainan bola sepak.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah dari sekitar Kuching menyertai Klinik Jombola yang julung kali diadakan itu, hari ini.

Pada majlis sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya menyokong penuh usaha terbabit.

Beliau juga menyatakan harapan agar sukan yang diasaskan oleh Pengasas dan Presiden Persatuan Jombola Malaysia Sukdev Singh itu berupaya untuk mencapai ke sukan peringkat antarabangsa.
 

  • oleh
  • Advertisement