Anda di sini

Orang ramai perlu santuni golongan OKU

Advertisement
 Para tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan bersama Unduk Ngadau pelatih PPDK Ranau Mell Cyee Macklin ketika di majlis berkenaan.
KENANGAN: Para tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan bersama Unduk Ngadau pelatih PPDK Ranau Mell Cyee Macklin ketika di majlis berkenaan.


RANAU: Orang ramai khususnya para ibu bapa diajak supaya sentiasa menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau Benedict Gunda berkata, ia bagi membolehkan golongan itu merasakan dirinya sentiasa dihargai, dihormati dan tidak disisikan.

"Para ibu bapa atau penjaga OKU perlu menyantuni golongan itu sama seperti insan biasa.

"Kekurangan pada diri seorang OKU seperti kecacatan anggota tubuh badan, kurang pendengaran, bisu, pekak dan sebagainya bukanlah diminta mereka.

"Oleh itu, mereka memerlukan sokongan, bimbingan, asuhan dan perhatian daripada pihak ibu bapa dan penjaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yasin bagi merasmikan majlis '3 Dalam Satu' iaitu, Sambutan Hari OKU, Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan peringkat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Ranau baru-baru ini.

Benedict memuji Jawatankuasa penganjur majlis tersebut kerana berjaya melaksanakannya dengan lancar dan teratur.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Ruhimin Japar yang dalam ucapannya, berterima kasih kepada Benedict dan para jemputan serta para ibu bapa dan pelatih yang hadir ke majis tersebut.

Katanya, PPDK Ranau sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menyampaikan sumbangan. 

"PPDK Ranau memerlukan sumbangan sama ada berupa kewangan atau peralatan kepada PPDK yang kini masih serba kekurangan terutama dana untuk membiayai kos program atau aktiviti melibatkan para pelatih," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement