Anda di sini

Ibra tekad terus bermain

Advertisement
Ibrahimovic meraikan kemenangan AC Milan memenangi Serie A Itali di ibu pejabat Casa Milan di Milan. — Gambar AFP
Ibrahimovic meraikan kemenangan AC Milan memenangi Serie A Itali di ibu pejabat Casa Milan di Milan. — Gambar AFP

MILAN: Zlatan Ibrahimovic berhasrat untuk terus bermain walaupun kontraknya dengan AC Milan hampir berakhir dan rehat panjang selepas pembedahan lutut, kata pengarah kelab Paolo Maldini kelmarin.

“Dari apa yang saya faham, dia berniat untuk meneruskan,” kata Maldini dua hari selepas pemain penyerang itu menjalani pembedahan yang dijangka memerlukan pemulihan selama lapan bulan.

“Kami akan membuat janji dua minggu lagi. Bagi saya tiada masalah dalam mencapai kesepakatan. Dia pastinya tidak selesa bermain begitu sedikit. Kita akan lihat apa yang berlaku dalam tempoh dua minggu akan datang,” kata Maldini.

Ibrahimovic, yang kembali ke AC Milan pada Januari 2020 selepas lapan tahun pergi dan baru sahaja membantu kelab itu memenangi gelaran Serie A pertama mereka sejak 2011, telah menjalani pembedahan ligamen di lutut kirinya.

Bekas pemain Inter Milan, Paris Saint-Germain dan Manchester United itu berkata minggu ini dia tidak tidur selama enam bulan kerana sakit di lututnya dan kerana dia telah bertekad untuk memenuhi janjinya kepada AC Milan untuk memberikan mahkota Serie A pertama mereka dalam tempoh 11 tahun.

Sementara itu, Maldini mengesahkan bahawa kelab itu sedang dalam proses menandatangani penyerang Belgium, Divock Origi dari Liverpool untuk menyokong Olivier Giroud, Rafael Leao dan Ante Rebic dalam barisan serangan.

Milan pada masa ini tidak ada “kebolehan kewangan” untuk membuat pemindahan besar, kata bekas ikon ‘Rossoneri’ Maldini, dengan rundingan sedang dijalankan untuk penjualan kelab yang telah memenangi 19 gelaran Serie A.

Perbincangan pada hari Khamis antara Investcorp syarikat Bahrain dan pemilik semasa AC Milan, dana pelaburan Amerika Elliott Management, berakhir tanpa perjanjian.

Satu lagi dana pelaburan Amerika, RedBird Capital Partners, kini paling berpotensi untuk memperolehi pengambilalihan. — AFP 
 

Advertisement