Anda di sini

2,210 terima sumbangan Sejambak Kasih Gawai

Advertisement
Amirullah (lima kiri) menyerahkan sumbangan khas JKM kepada salah seorang penerima di Kapit, baru-baru ini.
Amirullah (lima kiri) menyerahkan sumbangan khas JKM kepada salah seorang penerima di Kapit, baru-baru ini.

KAPIT: Seramai 2,210 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Kapit menerima sumbangan Hari Gawai di Dewan Suarah Kapit bersempena program Sejambak Kasih Gawai Kapit 2022 di sini, baru-baru ini.

Ketika berucap pada program itu Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Kapit Mohamad Amirullah Sulaiman berkata, pemberian sumbangan tunai kepada penerima berbangsa lban itu bertujuan meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima yang akan menyambut perayaan Hari Gawai. 

"Sumbangan ini juga dapat membantu meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan ahli keluarga kurang berkemampuan," katanya.

Amirul yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah turut menyerahkan sumbangan daripada JKM kepada penerima bantuan.

Antaranya termasuk sumbangan kerusi roda, kad orang kurang upaya (OKU), Kenyalang Gold Card (KGC) serta bantuan lain.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Kapit Dariel Thiong Yew Seng memberitahu, Sejambak Kasih Gawai merupakan acara tahunan JKM bertujuan meraikan penerima bantuan JKM, khususnya berbangsa Iban yang akan menyambut Hari Gawai tidak lama lagi.

Jelasnya, seramai 200 daripada 2,210 penerima berbangsa Iban di Kapit hadir menerima sumbangan berupa hamper dan wang tunai pada program tersebut.

Manakala bagi 2,010 penerima yang tidak dapat menghadirkan diri ke majlis itu, sumbangan akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.
 

  • oleh
  • Advertisement