Anda di sini

WARISAN masih kukuh, tidak wujud pemimpin lompat parti

Advertisement
 Jaujan (enam kiri) menerima kunjungan ADUN Sri Tanjung, Justin Wong (enam kanan) dan pemimpin akar umbi WARISAN dalam majlis tersebut.
TETAMU: Jaujan (enam kiri) menerima kunjungan ADUN Sri Tanjung, Justin Wong (enam kanan) dan pemimpin akar umbi WARISAN dalam majlis tersebut.

SEMPORNA: Parti Warisan (WARISAN) di negeri ini masih kukuh dan tidak wujud soal pemimpin dan jentera parti yang akan melompat seperti kenyataan pemimpin parti lawan sebelum ini.

Naib Presiden WARISAN, Datuk Jaujan Sambakong berkata kenyataan yang mengatakan ada lagi pemimpin WARISAN akan keluar parti adalah tidak benar.

Katanya, pemimpin dan jentera WARISAN yang ada sekarang adalah mereka yang setia dan tidak mempunyai masalah berkaitan salah guna kuasa.

“Semua mengetahui kebanyakan bekas pemimpin WARISAN yang keluar parti adalah mereka yang didakwa terpalit dengan pelbagai masalah.

“Kita tidak mahu komen kesalahan mereka, itu hak peribadi dan rakyat sendiri boleh nilai pemimpin tersebut ikhlas ataupun untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa jamuan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri lebih 3,000 orang di kediamannya, di sini hari ini.

Menurutnya, sambutan ahli dan pemimpin akar umbi semasa jelajah Ramadan Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di seluruh negeri membuktikan parti ini masih kuat dan diterima.

Justeru, katanya, kenyataan terdapat lagi pemimpin WARISAN yang akan keluar parti dan menyertai parti lawan adalah tidak benar dan bersifat politik lapuk.

“Kerajaan sekarang tidak perlu bercakap soal parti WARISAN, sebaliknya mereka perlu tumpukan untuk menjaga kebajikan dan kemudahan yang diharapkan oleh rakyat.

“Kemudahan jalan raya dan air di Sabah semakin membimbangkan, malah ramai yang mengalami kerugian akibat kelemahan kerajaan mengurus kemudahan infrastruktur seperti jalan raya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan berkata sebelum bercerita soal parti WARISAN, mereka perlu perbaiki dahulu hubungan sesama komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Hubungan mereka juga dilihat tidak begitu baik dan kestabilan politik Sabah turut terjejas sehinggakan kurangnya tumpuan untuk mentadbir negeri.

“Apa yang mereka buat setelah lebih dua tahun memerintah, kemudahan asas rakyat sangat teruk, malah bekalan makanan juga selalu berkurangan, walaupun Sabah mempunyai banyak sumber,” katanya.

Jaujan berkata, kerajaan perlu memikirkan kesusahan rakyat selepas terjejas akibat kesan pandemik COVID-19.

“Buat masa ini, rakyat masih tercari-cari kehidupan selepas pandemik, bukannya mahu memikirkan ketidakstabilan politik negara.

“Rakyat semakin menderita disebabkan kos sara hidup semakin meningkat dan pemimpin pula tidak ada formula untuk membantu menangani masalah tersebut,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement