Anda di sini

Tiada masalah bekalan ayam di Sarawak

Advertisement
Azman (dua kanan) ketika mengadakan lawatan turut berbual bersama peniaga ayam di Medan Niaga Satok, hari ini.
Azman (dua kanan) ketika mengadakan lawatan turut berbual bersama peniaga ayam di Medan Niaga Satok, hari ini.

KUCHING: Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof mengadakan pemeriksaan mengejut di Medan Pasar Satok di sini, hari ini.

Beliau yang tiba di Medan Niaga Satok sekitar jam 8.30 pagi diiringi Timbalan KSU (Pendayaupayaan Pengguna) Datin Roszanina Wahab, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak Azman Adam serta yang lain bagi meninjau kedudukan bekalan barang keperluan terutama ayam dan telur di negeri ini.

Menurut kenyataan KPDNHEP hari ini, peniaga ketika ditemui mengatakan tiada masalah tentang bekalan ayam daripada pengeluar di Sarawak. 

Begitu juga pengguna tidak menghadapi masalah dalam membeli ayam pelbagai jenis termasuk bahagian-bahagian serta ayam tua.

Ketika ditemui pemberita mengenai lebihan bekalan ayam di Sarawak disalurkan ke Semenanjung untuk menampung kekurangan bekalan di Semenanjung, Azman memberitahu ia kemungkinan dapat dipertimbangkan.

Katanya, ia atas semangat Keluarga Malaysia dan kerajaan kolaboratif tetapi menegaskan pengurusan bekalan adalah di bawah jurisdiksi MAFI dan bukannya KPDNHEP.

Beliau memohon semua pengguna yang mendapati berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah, aktiviti sekatan bekalan/sorok atau menyedari adanya aktiviti-aktiviti yang melanggar peraturan agar melaporkannya terus kepada KPDNHEP menggunakan saluran aduan yang disediakan seperti Whatsapp, e-mel dan aplikasi mobile.

Azman menyarankan agar pengguna memuat turun aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh kementerian bagi membantu pengguna membuat carian harga barangan berpatutan  berdasarkan lokaliti masing-masing.
 

Advertisement