Anda di sini

Tanah Sarawak subur, harus dieksploitasi untuk pertanian

Advertisement
 

KUCHING: Sambutan Hari Gawai pada 1 Jun ini membawa makna kesyukuran atas keberkatan hasil tuaian yang baik, kata Ahli Parlimen Selangau Baru Bian (gambar).

Menurut beliau, Sarawak mempunyai tanah subur yang sesuai diusahakan untuk pertanian dan ia harus dieksploitasi untuk kepentingan rakyat jelata.

“Oleh itu, rakyat terutama mereka yang telah bersara digalakkan untuk pulang ke kampung bagi mengusahakan tanah mereka, selain mempelajari teknik pertanian moden.

“Ia kerana pertanian boleh memberi pendapatan lumayan terutama apabila kita mengadaptasikannya kepada pertanian organik.
 
“Apatah lagi, terdapat permintaan besar untuk produk organik oleh masyarakat antarabangsa ekoran ramai menyedari kepentingan makanan yang sihat,” katanya menerusi perutusan Hari Gawai 2022 hari ini.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan berkata, kawasan luar bandar boleh menjadi tempat perlindungan dan kelangsungan hidup jika rakyat dapat menghasilkan makanan mereka sendiri.

“Pengalaman kekurangan makanan semasa sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 adalah peringatan yang jelas tentang keperluan untuk mempunyai makanan yang mencukupi untuk diri kita,” katanya.

Walaupun tuaian padi untuk tahun ini tidak sebaik tahun lepas, namun katanya, ia masih mencukupi. 

“Di kawasan ulu, tidak ada yang akan lapar jika kita rajin mengusaha tanah yang ada.
 
“Ini adalah sesuatu yang boleh dilakukan oleh semua orang, jika kita bersedia untuk berusaha,” katanya.
 

Advertisement