Anda di sini

Real Madrid kekal kelab yang paling berharga di Eropah

Advertisement
Gambar fail 26 Mei 2018 ini menunjukkan pasukan Real Madrid menjulang trofi kejuaraan selepas memenangi perlawanan final Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Stadium Olympic di Kiev, Ukraine. — Gambar AFP
Gambar fail 26 Mei 2018 ini menunjukkan pasukan Real Madrid menjulang trofi kejuaraan selepas memenangi perlawanan final Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Stadium Olympic di Kiev, Ukraine. — Gambar AFP

PARIS: Real Madrid masih kekal sebagai kelab bola sepak paling berharga di Eropah walaupun Liga Perdana Inggeris semakin mendominasi, menurut dua laporan oleh penganalisis yang diterbitkan kelmarin.

Laporan Football Benchmark, yang membezakan ranking 32 kelab paling terkenal Eropah berdasarkan penyata kewangan tahunan mereka dan menilai skuad, meletakkan Real di ranking teratas dengan penilaian 3.184 bilion euro.

Real, yang akan menghadapi Liverpool dalam final Liga Juara-Juara Ahad, muncul di kedudukan teratas laporan itu untuk tahun keempat berturut-turut.

Dalam kajian berasingan, Forbes juga meletakkan Real di ranking tetapi dengan penilaian  5.1 bilion dolar.

“Real Madrid telah memperluaskan kedudukan mereka di puncak dengan kejayaan sukan dan komersial yang berterusan,” kata pengarang laporan Football Benchmark, Andrea Sartori.

Ia berkata Real kehilangan 84 juta euro tanpa pendapatan hari perlawanan apabila stadium ditutup kerana pandemik.

Walau bagaimanapun, Real “memanfaatkan sepenuhnya kawalan pergerakan, mempercepatkan kerja-kerja pembinaan di Bernabeu. Ia akan siap menjelang akhir tahun 2022 atau awal tahun 2023 dan semestinya akan memberi mereka peningkatan pendapatan yang besar dan berpotensi menjadi lebih daya saing”.

Manchester United (2.9 bilion euro) dan Barcelona (2.8 bilion euro) memeterai podium, dengan Bayern Munich di tempat keempat dan Liverpool di tempat kelima (2.556 bilion euro).

Daripada 32 kelab paling berharga dalam kajian Football Benchmark, hanya empat kelab (Ajax, Galatasaray, Porto dan Benfica) bukan dari lima liga besar Eropah, England, Sepanyol, Jerman, Itali dan Perancis.

Sepuluh daripada 32 teratas diduduki skuad Inggeris, mencerminkan dominasi Liga Perdana di Eropah.

“Apa yang mendorong kemahsyuran kelab Inggeris ialah kejayaan dari segi kewangan,” kata laporan itu.

Paris Saint-Germain merekodkan pertumbuhan terbanyak dalam tempoh tujuh tahun, meningkat sehingga 153 peratus.

Keseluruhannya, bola sepak menunjukkan tanda-tanda bahawa kelumpuhan yang disebabkan oleh COVID-19 sudah berakhir.

“Laporan kewangan tahun lalu masih menanggung kesan negatif COVID-19, sementara beberapa bulan terakhir ini mencerminkan tanda-tanda bola sepak sudah kembali normal, terutamanya orang ramai kembali ke stadium dan dengan permintaan yang berterusan dari penaja dan pelabur.”

Laporan Forbes meletakkan Barcelona di tempat kedua selepas Real dengan penilaian 5.1 bilion dolar diikuti Manchester United ketiga dengan 4.6 bilion dolar.

Forbes menjelaskan bahawa penilaian mereka berdasarkan “nilai perusahaan (ekuiti ditambah hutang bersih) dan termasuk ekonomi stadium pasukan, berdasarkan transaksi yang boleh dibandingkan”. — AFP 
 

Advertisement