Anda di sini

Pengurusan sistematik mampu bantu kembangkan perniagaan

Advertisement
Ripin (lima kiri) Hafidz (empat kiri) bersama ahli dan tetamu bergambar kenangan pada majlis ramah tamah DUBS Miri, hari ini.
Ripin (lima kiri) Hafidz (empat kiri) bersama ahli dan tetamu bergambar kenangan pada majlis ramah tamah DUBS Miri, hari ini.

MIRI: Penyelarasan sistematik dalam pengurusan amat diperlukan agar perniagaan dapat terus berkembang walaupun secara perlahan dalam berdepan situasi ekonomi sekarang. 

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini termasuk pengurusan kewangan dan perbelanjaan yang terancang untuk mengelak kerugian kesan kenaikan kos perniagaan. 

"Kita memang lihat perubahan drastik dari segi sektor perniagaan, kos peralatan, kos pekerja, mata wang. 

"Saya harap ahli-ahli perniagaan dapat menyelaraskan pola situasi masalah dihadapi sekarang, dapat selaraskan supaya dalam perniagaan tidak mengakibatkan kerugian," ujarnya.

Teks ucapan Awang Tengah dibacakan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap ADUN Lambir dan Penasihat DUBS Miri Dr Ripin Lamat yang hadir mewakili beliau merasmikan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri  dan Pra Gawai Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri hari ini.

Awang Tengah juga mahu usahawan di sini memanfaatkan pembukaan sektor ekonomi dan industri dalam peralihan fasa ke endemik sekarang dan bersedia dengan pembukaan semula sempadan negara jiran Brunei Darussalam. 

Selain itu, pemindahan ibu pejabat Shell Malaysia ke Miri turut memberi banyak peluang kepada usahawan di sini. 

Beliau juga yakin kehadiran syarikat itu turut memberi kesan terhadap peningkatan kuasa beli yang pasti akan mendatangkan keuntungan kepada peniaga tempatan. 

"Ambil peluang ini. Siapa ahli perniagaan yang pandai, mereka akan dapat peluang," jelasnya.  

Beliau menambah, perniagaan akan bergerak cepat dengan mengadaptasi teknologi, e-dagang, ekonomi digital dan ekonomi hijau.

Ia turut diperlukan dalam pembangunan ekonomi baharu negeri ini seperti yang ditekankan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

"Saya harap usahawan akan mengambil peluang dengan semua peluang perniagaan yang ada selepas kita dua tahun agak perlahan.

"Selepas ini saya rasa sektor perniagaan akan berkembang dengan cepat," tegasnya lanjut.

Selain sokongan ahli DUBS Miri, kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri juga diperlukan untuk memperkasakan sektor perniagaan di sini. 

Ripin kemudiannya mengumumkan sumbangan geran RM10,000 daripada Awang Tengah kepada DUBS Miri. 

Hadir sama Datuk Bandar yang juga ADUN Pujut Adam Yii, Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad Pengerusi DUBS Miri Mohd Hafidz Rohani, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sharkawi Suhaili dan bekas Timbalan Pengerusi DUBS Miri Julani Mokhtar.
 

  • oleh
  • Advertisement