Anda di sini

Pembinaan Lapangan Terbang Baharu Lawas dipergiat

Advertisement
Awang Tengah (tiga kiri) menyerahkan Lesen Keluarga Malaysia kepada salah seorang penerima pada majlis tersebut. Turut kelihatan, Henry (dua kiri) serta yang lain.
Awang Tengah (tiga kiri) menyerahkan Lesen Keluarga Malaysia kepada salah seorang penerima pada majlis tersebut. Turut kelihatan, Henry (dua kiri) serta yang lain.

LAWAS: Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Lapangan Terbang Lawas pada masa ini bukan saja tidak lagi dapat memenuhi permintaan domestik, malah turut berdepan masalah banjir serius.

Justeru katanya, pembinaan Lapangan Terbang Baharu Lawas sedang dijalankan yang kini di peringkat pengambilan tanah dan pampasan bagi tanah yang terjejas dijangka diserahkan tidak lama lagi.

Beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) kerana menyokong tapak untuk pembinaan lapangan terbang baharu itu.

“Ini sangat penting kerana lapangan terbang kita sekarang tidak lagi dapat memenuhi permintaan, malah setiap kali dilanda banjir, tahun lalu sahaja landasan itu dinaiki air sebanyak tiga kali dan kita tidak boleh berbuat apa-apa (mengenai banjir).

“Kita terpaksa pergi ke Kota Kinabalu (KK) dan disebabkan wabak itu, harga tiket mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Bertemu Pelanggan dan Penutupan Majlis Bantuan Lesen Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, selain tiket mahal, orang ramai terpaksa mengeluarkan wang untuk menginap di hotel sebelum meneruskan penerbangan.

"Buat masa ini untuk Lapangan Terbang Lawas yang baharu, proses untuk mengambil alih tanah sedang dijalankan.

"Kita akan beri pampasan tanah kepada mereka yang terjejas tidak lama lagi," katanya. 

Menyentuh mengenai projek jalan raya, Awang Tengah berkata, kerajaan negeri tetap komited membina jalan menghubungkan Lawas, Limbang ke Miri dan seterusnya tanpa melalui Brunei.

Tambahnya, pakej pertama Rangkaian Jalan Raya Sarawak (SLR) sedang dijalankan dari Gelugus ke Long Luping.

"Kerajaan negeri komited dalam meneruskan projek SLR.

"Untuk itu, saya bersama Henry, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang telah berjumpa dengan menteri berkaitan supaya projek itu dapat disegerakan,” katanya.

Tambahnya, mereka juga menggesa kerajaan persekutuan melihat keperluan untuk membina perhubungan jalan raya dari sempadan Indonesia ke Long Luping.

“Dan alhamdulillah, ini telah diberi perhatian oleh kerajaan pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” ujarnya.

Mengenai Bantuan Lesen Keluarga Malaysia, Awang Tengah berkata, ia merupakan inisiatif kerajaan persekutuan melalui MOT untuk membantu golongan B40 mendapatkan lesen.

Tambahnya, Hari Bertemu Pelanggan juga memberi peluang kepada orang ramai untuk berjumpa dan bertanya soalan terus kepada pelbagai agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), MASWings dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang sedang mengambil bahagian dalam program tersebut.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong dalam ucapan alu-aluannya berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban rakyat daripada kumpulan B40.

Seramai 1,000 orang di Lawas mendapat lesen di bawah program tersebut.
 

  • oleh
  • Advertisement