Anda di sini

HDC jangka eksport halal melepasi RM42 bilion daripada tahap sebelum pandemik

Advertisement
 

PETALING JAYA: Halal Development Corporation Bhd (HDC) menjangkakan eksport halal Malaysia tahun ini melepasi RM42 bilion daripada tahap sebelum pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Hairol Ariffein Sahari berkata pada suku pertama tahun ini, eksport halal meningkat hampir 100 peratus daripada suku yang sama tahun lepas.

"Daripada prestasi pada suku pertama dan jika trend dan momentum ini berterusan sehingga akhir tahun, kami akan berada di landasan betul untuk melepasi tahap sebelum pandmik," kata Hairol kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen “Make Halal your First Choice”, di sini pada Jumaat.

“Semasa pandemik, kami mengunjurkan bahawa ekonomi halal memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun selepas pandemik untuk pulih tetapi melihat angka semasa, nampaknya Malaysia akan pulih lebih awal daripada jangkaan,” katanya.

Hairol berkata rantaian bekalan (situasi) bertambah baik, melihat kepada eksport perniagaan ke perniagaan untuk derivatif minyak sawit dan bahan halal yang meningkat lebih 100 peratus, produk lain juga beransur pulih.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa import dari China juga melonjak.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Norazman Ayob yang melancarkan acara tersebut berkata prestasi eksport halal Malaysia 2021 merupakan pencapaian memberangsangkan, meningkat 19 peratus kepada RM36.3 bilion daripada RM30.5 bilion setahun sebelumnya .

“Peningkatan ini membuktikan kepentingan industri halal kepada ekonomi Malaysia walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19,” katanya.

Dari segi sumbangan sektoral, bagi tahun 2021 beliau berkata sektor makanan dan minuman halal terus menjadi penyumbang utama bernilai RM17.64 bilion diikuti bahan halal (RM13.49 bilion), kosmetik dan penjagaan diri (RM2.44 bilion), derivatif minyak sawit (RM1.71 bilion), bahan kimia industri (RM0.75 bilion) dan farmaseutikal halal (RM0.28 bilion).

Beliau berkata China telah mengatasi Singapura sebagai destinasi eksport halal terbesar pada 2021 masing-masing sebanyak sebanyak RM4.6 bilion dan RM3.7 bilion diikuti Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Pelaburan langsung di taman halal di Malaysia pada 2021 juga mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM210 juta berbanding tahun sebelumnya yang menggariskan daya tarikan industri halal negara dan potensinya walaupun berdepan cabaran daripada pandemik itu sejak 2020.

Lima ratus usahawan halal sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) menyertai kempen yang diperkenalkan HDC sebagai inisiatif Bajet 2022.

Hairol berkata kempen itu bertujuan meningkatkan purata jualan antara 20 dan  30 peratus dengan meningkatkan kebolehpasaran produk di pasar raya besar dan melalui program Penjenamaan Digital produk halal perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

HDC bekerjasama dengan Lulu International Group dan Lotus's Store (Malaysia) Sdn Bhd untuk kempen tiga bulan yang bermula akhir bulan April.

Selain itu, HDC turut bekerjasama dengan Foodpanda Malaysia dari 1 Jun hingga 31 Julai, 2022.

“Kami menyasarkan 120 syarikat untuk menembusi rangkaian pasaran Lulu dan Lotus, kami mempunyai antara 70 dan 80 syarikat yang mengambil bahagian sekarang. Jika sambutan menggalakkan, ia akan diteruskan,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement