Anda di sini

Harimau Malaya kembali 'mengaum' di Bukit Jalil, benam Brunei 4-0

Advertisement
Pemain Malaysia Mohammad Syamer Kutty Abba menewaskan penjaga gol Brunei pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Brunei ketika di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. -Gambar Bernama
Pemain Malaysia Mohammad Syamer Kutty Abba menewaskan penjaga gol Brunei pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Brunei ketika di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. -Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Setelah lebih dua tahun, ‘ngauman’ Harimau Malaya kembali bergema di stadium keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas ‘membaham’ Brunei 4-0, dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, malam tadi.

Malaysia yang mendominasi perlawanan sejak minit pertama, membuka tirai jaringan apabila tandukan penyerang Muhammad Syafiq Ahmad menggegar jaring pada minit ke-16, selepas memanfaatkan sepakan sudut dari sebelah kiri oleh V. Ruventhiran.

Anak buah pengendali dari Korea Selatan Kim Pan Gon, yang kerap melakukan hantaran pendek, hampir menambah jaringan pada minit ke-31, namun sepakan gunting Muhammad Syafiq ditepis penjaga gol Brunei Muhammad Haimie Abdullah Nyaring, pada minit ke-41.

Gerakan menarik satu-dua dimulakan oleh pemain sayap lincah, Mohamad Faisal Abdul Halim berjaya memerangkap Brunei, apabila Muhammad Syamer Kutty Abba melepaskan sepakan leret untuk menjadikan Malaysia selesa di depan 2-0, pada minit pertama masa kecederaan separuh masa pertama.

Percaturan Pan Gon membawa masuk beberapa pemain seperti Dominic Tan, Muhammad Safawi Rasid, Muhamad Nazmi Faiz Mansor, serta dua pemain naturalisasi, Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi membuahkan hasil, apabila Malaysia tampil lebih garang berbanding separuh masa pertama.

De Paula hampir menjaringkan gol, namun tandukannya gagal menepati sasaran selepas menerima hantaran silang dari Ruventhiran pada minit ke-47 sebelum pemain kelahiran Brazil itu membuka ruang buat Mohamad Faisal menjaringkan gol ketiga, menerusi sepakan padu dari jarak dekat pada minit ke-58.

Bagaimanapun, De Paula menebus kesilapannya apabila tenang menyumbat masuk sepakan penalti pada minit ke-83, yang seterusnya menggamatkan sorakan hampir 10,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Brunei hampir memperoleh gol sagu hati namun sepakan pemain gantian, Abd Azizi Ali Rahman tepat ke dakapan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid di penghujung perlawanan dan kedudukan 4-0 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Kali terakhir Harimau Malaya beraksi di hadapan penyokong sendiri adalah pada November 2019 di sini, sewaktu menewaskan Indonesia 2-0, dalam aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia akan meneruskan aksi pemanas badan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, menentang Hong Kong, Rabu ini (1 Jun).

Harimau Malaya bakal berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) pada aksi Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023. - BERNAMA
 

Advertisement