Anda di sini

Cekal terjemah usaha pertanian pilihan kepada kejayaan: Uggah

Advertisement
Uggah bersama Robert menyampaikan cek geran kepada Tuai Rumah Nala Runggai pada majlis tersebut.
Uggah bersama Robert menyampaikan cek geran kepada Tuai Rumah Nala Runggai pada majlis tersebut.

KUCHING: Penduduk luar bandar perlu cekal dan berazam untuk menterjemahkan usaha pertanian pilihan mereka kepada kejayaan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mereka tidak boleh mudah berputus asa dengan sebarang cabaran atau masalah terutama pada permulaan perusahaan.

“Ramai mengadu tentang kos baja dan makanan haiwan ternakan yang tinggi. Bahkan, ada juga yang mengadu bahawa haiwan liar seperti monyet adalah gangguan yang besar.

“Tetapi mereka yang telah bertahan, misalnya yang telah menanam kelapa sawit dan lada, kini memperoleh pendapatan yang sangat baik di mana kelapa sawit kini dijual pada harga RM1,300 setan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Geran Tahunan Negeri kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang serta biro wanita daripada 94 rumah panjang di konstituensinya di Bukit Saban di Rumah Mendit Unsu di Penom di Spaoh, Betong hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat yang turut menyampaikan geran daripada dana Parlimennya.

Uggah berkata, kawasan Spaoh telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kawasan Agropolitan Bukit Sadok dan kawasan bakul makanan Betong/Mukah.

Atas sebab itu katanya, kerajaan telah memutuskan untuk membina projek Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) di Bebuling, Spaoh bernilai RM108 juta.

“Kawasan itu diyakini boleh menjadi prospek besar sebagai kawasan pengeluaran makanan.

“Justeru, rakyat harus memainkan peranan dengan menyertai aktiviti pilihan mereka untuk menjana pendapatan,” katanya.

Terdahulu, Robert dalam ucapannya menyeru orang ramai supaya terus mematuhi SOP dalam memerangi COVID-19 semasa sambutan Gawai ini.

Beliau berkata, mereka yang meraikan Hari Gawai perlu mengambil sikap berhati-hati selepas tidak dapat beraya seperti yang biasa mereka lakukan sejak dua tahun lalu.
 

  • oleh
  • Advertisement