Anda di sini

Menipu, pemuda dihukum penjara setahun

Advertisement
 

SIBU: Seorang pemuda berusia 21 tahun dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas dia mengaku bersalah menipu dan mendorong penyerahan harta secara tidak jujur.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar turut mengenakan satu sebatan kepada tertuduh Amjad Ali.

Amjad yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun penjara serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didapati menipu seorang pengurus sebuah agensi pinjaman dengan memperdayakan mangsa untuk untuk mempercayai butiran kerja palsu sekali gus menerima wang tunai berjumlah RM3,000 pada 12 Ogos 2021.

Berdasarkan fakta kes, pada 16 September 2021 kira-kira jam 1.30 tengah hari, pengurus terbabit sedang memeriksa salah seorang peminjamnya Amjad.

Amjad telah menandatangani perjanjian dan menyatakan bahawa dia bekerja di sebuah syarikat di Sibu dan telah memohon pinjaman berjumlah RM3,000.

Amjad tidak pernah membayar balik wang yang dipinjamnya dan tidak dapat dihubungi.

Perkara tersebut mendorong pengurus terbabit untuk menyiasat dan tidak lama kemudian dia mendapat tahu bahawa Amjad bukanlah pekerja syarikat tersebut.

Pengurus itu kemudiannya membuat laporan polis.

Pendakwaan kes itu dijalankan oleh Inspektor Badrul Iskandar Selamat.

  • oleh
  • Advertisement