Anda di sini

Enam imigran maut bas terjunam ke lereng bukit di Mexico

Advertisement

MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya enam imigran berasal dari Amerika Tengah dan Cuba terbunuh sementara 19 yang lain cedera apabila sebuah bas terjunam ke lereng bukit di ibu kota Mexico kelmarin, kata pihak berkuasa.

Empat wanita dan dua lelaki dari Honduras, El Salvador dan Cuba maut dalam kemalangan itu yang berlaku di negeri San Luis Potosi, jelas agensi perlindungan awam tempatan di media sosial.

Seorang bayi berusia enam bulan dan kanak-kanak berusia lapan tahun adalah antara mereka yang dibawa ke hospital untuk dirawat, menurut agensi, tanpa memberikan butiran kewarganegaraan mangsa.

Gambar-gambar oleh pihak berkuasa menunjukkan bangkai bas, nampaknya telah berguling menuruni lereng bukit selepas terbabas dari jalan raya.

Setiap tahun, beribu-ribu pendatang asing tanpa dokumen merentasi Mexico dalam perjalanan berisiko tinggi, termasuk kemalangan jalan raya, lemas dan jenayah.

Pada Disember 2021, sebuah treler yang membawa 160 imigran merempuh jambatan pejalan kaki di sebuah lebuh raya di negeri Chiapas, mengakibatkan 56 orang mati, kebanyakannya warga Guatemala. - AFP

Advertisement