Anda di sini

Empat bom bunuh 12 warga awam di Afghanistan

Advertisement

KABUL: Empat bom telah meletupkan bas-bas mini dan sebuah masjid di Afghanistan kelmarin, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, dan menurut pihak berkuasa beberapa serangan telah diakui oleh militan Daesh (IS).

Jumlah serangan bom telah menurun sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos tahun lalu, namun sejumlah pengeboman maut telah menggegarkan negara ini pada bulan Ramadan.

Kelmarin, sekurangku-rangnya 10 orang terbunuh apabila tiga bom yang diletakkan di dalam beberapa bas mini di lokasi yang berasingan meletup di bandar utara Mazar-i-Sharif, kata seorang pegawai kesihatan dan pihak polis.

"Bom itu diletakkan di atas tiga bas mini di daerah yang berasingan," kata jurucakap polis wilayah Balkh, Asif Waziri, sambil menambah bahawa 15 orang lain cedera.

 Mangsa yang cedera akibat letupan bom menerima rawatan di hospital di Mazar-i-Sharif kelmarin. - Gambar AFP
Mangsa yang cedera akibat letupan bom menerima rawatan di hospital di Mazar-i-Sharif kelmarin. - Gambar AFP

Najibullah Tawana, ketua jabatan kesihatan Balkh, berkata tiga wanita merupakan antara 10 penumpang yang terbunuh dalam letupan itu.

Beberapa jam selepas letupan bom itu, militan IS menulis di media sosial mengakui bertanggungjawab terhadap serangan ke atas bas mini.

Ia berkata di Telegram bahawa "tentera" mereka telah menjalankan tiga pengeboman.

Satu lagi bom meletup di dalam sebuah masjid di ibu kota Kabul lewat kelmarin, membunuh dua orang dan mencederakan 10 yang lain, menurut kementerian dalam negeri.

Hospital Kecemasan Kabul menulis di Twitter bahawa lima orang terbunuh dalam letupan di masjid sementara 22 yang lain cedera.

Beberapa ambulans bergegas ke masjid di Kabul untuk mengangkut mangsa.

Kementerian itu berkata, bom tersebut telah diletakkan di dalam kipas di masjid.

Pada bulan Ramadan lalu, puluhan warga awam terbunuh di Kabul dan bandar-bandar lain dalam serangan yang sebilangannya diakui oleh IS.

Pada 29 April, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh di sebuah masjid Sunni di Kabul dalam serangan yang menyasarkan anggota komuniti minoriti Sufi.

Pada 21 April, bom di sebuah masjid Syiah di Mazar-i-Sharif telah membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan ramai lagi.

Serangan paling maut pada bulan Ramadan berlaku di bandar utara Kunduz apabila bom meletup di sebuah masjid, juga menyasarkan jemaah Sufi pada 22 April.

Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dalam letupan itu dan ramai yang tercedera.

Cabang IS di Afghanistan yang didiami majoriti Sunni berulang kali menyasarkan warga Syiah dan minoriti seperti Sufi, yang menganuti cabang Islam mistik.

IS ialah kumpulan Islam Sunni, seperti Taliban, namun kedua-duanya bermusuhan.

Dalam perbezaan ideologi mereka, Taliban menuntut Afghanistan yang bebas dari kuasa asing, tetapi IS mahukan khalifah Islam menyeluruh dari Turki ke Pakistan dan melangkauinya. - AFP

Advertisement