Anda di sini

AS Roma cipta sejarah, menjuarai Liga Konferensi Europa

Advertisement

TIRANA: Nicolo Zaniolo memastikan AS Roma memenangi trofi Eropah yang pertama mereka pada Rabu apabila gol tunggalnya membolehkan pasukannya menewaskan Feyenoord 1-0 pada final sulung Liga Konferensi Europa.

Zaniolo, pemain antarabangsa Itali, menjaringkan gol dengan penyudah kemas pada minit ke-32 untuk memberikan Roma trofi pertama mereka dalam apa jua pertandingan sejak 2008 dan melengkapkan musim pertama yang berjaya untuk jurulatihnya, Jose Mourinho di Rom.

Mourinho tidak dapat menahan sebak dengan kejuaraan Eropah yang kelima sebagai jurulatih, kejuaraan pertama buat kelab dari Itali sejak membimbing Inter Milan muncul juara Liga Juara-Juara 12 tahun yang lalu.

“Ia benar-benar sangat sukar tetapi berasa sangat gembira,” kata Zaniolo.

“Ia adalah impian saya dan sekarang saya sudah melakukannya.”

Pemain AS Roma meraikan kejayaan dengan menjulang trofi kejuaraan selepas menewaskan Feyenoord 1-0 pada perlawanan final Liga Konferensi Europa di Stadium Air Albania di Tirana. — Gambar AFP
Pemain AS Roma meraikan kejayaan dengan menjulang trofi kejuaraan selepas menewaskan Feyenoord 1-0 pada perlawanan final Liga Konferensi Europa di Stadium Air Albania di Tirana. — Gambar AFP

Roma, juara Piala Fairs pada 1961, bernasib baik apabila Feyenoord mempamerkan aksi seimbang dan mempunyai dua cubaan  terkena palang dalam separuh masa kedua.

Tetapi mereka tetap bertahan walaupun kelab dari Belanda itu menguasai permainan dan memberikan kegembiraan kepada salah satu penyokong Eropah paling bersemangat dan paling laparkan kejayaan.

Lebih 50,000 penonton membanjiri Stadio Olimpico di Rom untuk menonton aksi pasukan mereka menerusi skrin gergasi pada perlawanan yang berlangsung di ibu kota Albania dan  kemudian meraikan kejayaan pasukan dengan membanjiri padang.

Sekumpulan kecil penyokong Roma yang dibenarkan memasuki Stadium Kebangsaan di Tirana, juga bersorak riang sebaik sahaja  pengadil perlawanan meniup wisel dan menamatkan kemarau kejuaraan mereka.

“Kami tahu bahawa selepas kemenangan hebat ini, ia sentiasa sukar untuk bermula sekali lagi tetapi pasukan sebenar menang, meraikannya dan kemudian bermula sekali lagi,” kata kapten Roma yang berkelahiran Rom, Lorenzo Pellegrini.

Bagi Feyenoord, juara Eropah pada 1970, ia adalah kekalahan pertama mereka di final kejohanan di Eropah dan juga kekalahan pertama dalam pertandingan ini untuk anak buah Arne Slot.

Zaniolo memecah kebuntuan dengan satu tolakan kemas dalam separuh masa pertama yang agak hambar.

Dia mengawal satu umpanan Gianluca Mancini dan melepasi kawalan Gernot Trauner sebelum menolak bola melepasi penjaga gol Justin Bijlow.

Gol itu menjadikan Zaniolo pemain Itali pertama menjaringkan  gol di final satu kejohanan Eropah sejak Filippo Inzaghi pada 2007 dan juga disahkan sebagai wira Roma.

Feyenoord menguasai bola, mencipta peluang yang tidak membawa hasil tetapi ia berubah tidak lama selepas rehat.

Rembatan Trauner terkena palang dan tidak lama selepas itu, penjaga gol Roma, Rui Patricio menepis satu cubaan Guus Til.

Patricio sekali lagi beraksi cemerlang apabila menepis cubaan Tyrell Malacia ke palang gol.

Kem Roma berang tidak lama selepas itu apabila penyerang Tammy Abraham dikawal oleh Marcos Senesi ketika berpeluang menjaringkan gol tetapi pengadil tidak mengendahkannya.

Feyenoord terus mengasak untuk mencari gol penyamaan tetapi benteng pertahanan berdisiplin Roma berjaya menangani asakan demi asakan untuk memberikan Roma saat kegemilangan yang jarang berlaku. — AFP

Advertisement