Anda di sini

Serbuan terbaru polis di favela Rio ragut 21 nyawa

Advertisement

RIO DE JANEIRO: Setahun selepas serbuan polis paling maut di kawasan setinggan (favela) Rio de Janeiro, operasi baharu yang lebih kasar oleh pihak berkuasa Brazil kelmarin telah menyebabkan 21 orang terbunuh termasuk seorang yang berada di tempat kejadian.

Polis tentera berkata mereka disambut dengan tembakan ketika mereka bersiap sedia untuk memasuki kawasan setinggan yang dipanggil Vila Cruzeiro, dengan misi untuk mencari dan menangkap "ketua jenayah".

Angka kematian berganda berbanding 11 kematian dalam laporan awal apabila lebih banyak mayat ditemui selepas pertempuran berakhir.

Pihak polis menjelaskan sekurang-kurangnya 11 orang yang terkorban merupakan "suspek".

Polis sering kali melakukan serbuan di kawasan setinggan di Rio dalam usaha memerangi pengedaran dadah.

Seorang wanita memegang tangan mangsa yang terbaring di belakang trak di Hospital Getulio Varas selepas serbuan polis di favela di Rio de Janeiro kelmarin. - Gambar AFP
Seorang wanita memegang tangan mangsa yang terbaring di belakang trak di Hospital Getulio Varas selepas serbuan polis di Favela di Rio de Janeiro kelmarin. - Gambar AFP

Kali ini, mereka memburu ketua geng yang bersembunyi di Vila Cruzeiro yang berasal dari bahagian lain di Brazil.

Ini merupakan serangan polis paling maut di Rio dalam tempoh setahun.

Mei lalu, serbuan polis di sebuah favela yang digelar Jacarezinho telah menyebabkan 28 orang mati termasuk seorang pegawai polis. Ia merupakan angka terbesar dalam sejarah bandar itu.

Vila Cruzeiro, sebuah favela yang padat terletak di lereng bukit tidak jauh dari lapangan terbang antarabangsa Rio de Janeiro, telah menjadi lokasi konfrontasi ganas pada Februari, ketika polis membunuh lapan orang.

Serbuan sebelum subuh kelmarin menyasarkan Comando Vermelho, atau Red Command, salah satu geng jenayah paling digeruni di Brazil yang "bertanggungjawab ke atas lebih 80 peratus penembakan di Rio," kata jurucakap polis kepada TV Globo.

Polis berkata, pertempuran senjata api juga tercetus di kawasan tanah tinggi favela itu sendiri dan di kawasan hutan yang terletak di lereng bukit.

Pihak berkuasa telah merampas tujuh senapang, lima pistol, 10 motosikal dan enam kereta dalam serbuan itu.

Namun operasi keras itu telah dikritik kerana penggunaan kekerasan yang berlebihan. - AFP

Advertisement