Anda di sini

Penjawat awam Singapura dipenjara kerana bocor maklumat COVID-19

Advertisement

SINGAPURA: Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara empat minggu ke atas seorang penjawat awam kelmarin atas kesalahan membocorkan maklumat berkaitan tentang kelonggaran sekatan COVID-19.

Kebocoran maklumat sedemikian jarang berlaku di sini, di mana kerajaan melindungi rapi maklumat sensitif, dan penjawat awam sangat dipadang tinggi.

Namun kes ini adalah antara sebilangan kejadian yang menyaksikan penjawat awam membocorkan maklumat berkaitan COVID-19 kepada ahli keluarga atau kenalan mereka sebelum ia didedahkan kepada umum.

Chua Wee Lin, 52, yang merupakan timbalan pengarah di Lembaga Perpustakaan Negara pada ketika itu, membocorkan maklumat rancangan pelonggaran protokol kepada 18 orang lain dalam kumpulan WhatsApp empat hari sebelum kerajaan mengumumkan rancangan itu pada Jun 2020.

Selepas menghadiri mesyuarat yang membincangkan maklumat tersebut, dia menghantar mesej dengan butiran tarikh bila kelab negara, pawagam dan restoran akan dibenarkan dibuka semula selepas perintah berkurung separa di Singapura.

Beberapa ahli kumpulan kemudiannya menyampaikan maklumat itu kepada rakan-rakan dan keluarga mereka, dan salah satu mesej itu menjadi tular lalu akhirnya sampai kepada seorang kakitangan di kementerian kerajaan yang berbeza, yang membuat laporan polis.

Kebocoran maklumat itu memaksa agensi kerajaan yang terlibat untuk mengkaji maklumat bagi mencari sumber, menurut mahkamah.

"Ini amat memakan masa memandangkan penularan maklumat yang meluas, dan ini harus dilakukan serentak dengan percubaan mereka untuk memerangi pandemik itu," kata pendakwa raya.

Chua dijatuhi hukuman penjara empat minggu selepas mengaku bersalah atas salah laku komunikasi maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Hukuman maksimum bagi kesalahan itu ialah denda S$2,000 (RM6,400) dan penjara dua tahun.

Awal tahun ini, seorang wanita dipenjara selama 18 minggu kerana membocorkan angka kes COVID-19 semasa dia berkhidmat untuk Kementerian Kesihatan, manakala seorang lagi penjawat awam menghadapi tuduhan serupa kerana membocorkan maklumat tentang penutupan sekolah kepada suaminya, menurut media tempatan. - AFP

Advertisement