Anda di sini

Mabuk dan main 'libas' parang di tempat awam, tiga diberkas

Advertisement
Anggota polis menahan suspek kerana disyaki menggugat ketenteraman awam.
Anggota polis menahan suspek kerana disyaki menggugat ketenteraman awam.

SIBU: Tiga lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol dengan salah seorang daripada mereka bermain 'libas-libas' parang di tempat awam ditahan polis di Pintu Gerbang Sibu, petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, tindakan tiga sekawan terbabit yang berusia 26 hingga 34 tahun menyebabkan orang awam menghubungi pihak polis kerana bimbang keselamatan mereka.

"Pasukan polis daripada Unit Kereta Peronda Polis (MPV) dan Unit Bermotosikal Polis (URB) IPD Sibu bergegas ke tempat kejadian dan mendapati ketiga-tiga suspek masih khayal kerana dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkipli berkata, ketiga-tiga suspek turut bertindak agresif ketika polis cuba memberkas mereka dan polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum sehingga mereka berjaya ditahan.

Kesemua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Polis turut menemui sebilah parang dipercayai digunakan oleh salah seorang suspek untuk memecah dinding sebuah bangunan berhampiran di kawasan kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," jelasnya.

Zulkipli turut menasihatkan orang awam agar tidak membawa sebarang jenis senjata berbahaya serta mabuk di tempat awam.
 

  • oleh
  • Advertisement