Anda di sini

Lebih sejuta hektar NCR sudah diukur perimter sehingga 30 April 2022  

Advertisement
Awang Tengah (dua kanan) menyemak teks ucapan sebelum penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak hari ini. -Gambar Chimon Upon
Awang Tengah (dua kanan) menyemak teks ucapan sebelum penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak hari ini. -Gambar Chimon Upon

KUCHING: Seluas 1,031,712 hektar atau 2,549,360 ekar tanah hak adat bumiputera (NCR) berjaya diukur secara perimeter sehingga 30 April 2022. 

Manakala seluas lebih kurang 794,503 hektar atau 1,963,216 ekar daripadanya telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pengukuran dan pengeluaran surat hakmilik tanah NCR telah dilaksanakan sejak tahun 1960-an khususnya melalui Operasi Penyelesaian selaras dengan Bahagian V Kanun Tanah Negeri Bab 81.

Bagi memastikan pengukuran tanah NCR dilaksanakan secara lebih efisien dan efektif, Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu telah dilaksanakan bermula pada 2010.  

“Sejak tahun 2017, fokus pengukuran juga ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu bagi kawasan-kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut.

“Sehingga 30 April 2022, sebanyak 54,072 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 66,808 hektar atau 165,082 ekar yang telah dan akan dikeluarkan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini. 

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua menambah bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan, menandakan sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar. 

Dalam pada itu bagi kawasan Opar, setakat 30 April 2022, sebanyak 25 kawasan telah diluluskan untuk diukur secara perimeter di bawah Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu.

Daripada jumlah tersebut, 17 kawasan berkeluasan 8,202 hektar atau 20,267 ekar telahpun siap diukur dan 13 daripadanya berkeluasan 4,684 hektar atau 11,574 ekar telahpun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Manakala, dua kawasan berkeluasan 1,516 hektar atau 3,746 ekar sedang diukur dan enam kawasan lagi berkeluasan 2,601 hektar atau 6,427 ekar akan diukur dalam masa terdekat.

Manakala di Katibas, setakat 30 April 2022, sebanyak 21 kawasan telah diluluskan untuk diukur secara perimeter di bawah Program Pengukuran Tanah  NCR Inisiatif Baharu.

Sepuluh daripada kawasan tersebut berkeluasan 32,838 hektar atau 81,143 ekar telahpun siap diukur di mana lapan daripadanya berkeluasan 24,700 hektar atau 61,034 ekar telahpun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. 

Sementara itu, empat kawasan berkeluasan 16,276 hektar atau 40,218 ekar telah diluluskan untuk diukur lot individu.

“Di Baleh, setakat 30 April 2022, sebanyak 27 kawasan dalam DUN Baleh telah diluluskan untuk diukur secara perimeter di bawah Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu.

“Sebanyak 14 daripada kawasan tersebut berkeluasan 36,829 hektar atau 91,004 ekar telahpun siap diukur di mana sepuluh daripadanya berkeluasan 23,758 hektar atau 58,706 ekar telahpun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri. 

“Sementara itu, tiga kawasan berkeluasan 7,045 hektar atau 17,408 ekar telah diluluskan untuk diukur lot individu iaitu di kawasan Sungai Majau, Sungai Gaat dan Nanga Pulang/Entawau,” katanya. 

Bagi kawasan Sungai Majau, sebanyak 248 lot individu telah siap diukur melibatkan kawasan seluas 1,098 hektar atau 2,713 ekar.

Manakala pengukuran bagi kawasan Sungai Gaat seluas 1,068 hektar dan Nanga Pulang/Entawau seluas 1,947 hektar akan diteruskan tertakluk kepada kesediaan penuntut-penuntut tanah yang terlibat.

Di Ngemah pula katanya, terdapat sepuluh permohonan pengukuran perimeter tanah NCR di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) di dalam DUN Ngemah yang melibatkan kawasan berkeluasan 54,669 hektar atau 135,087 ekar. 

Kesemua permohonan tersebut telah diluluskan di mana sembilan daripadanya telah siap diukur perimeter dengan jumlah keluasan 49,395 hektar atau 122,055 ekar manakala satu kawasan dengan keluasan 102 hektar atau 252 ekar terlibat dengan bantahan. 
 

  • oleh
  • Advertisement