Anda di sini

Bukti pengurusan terbaik

Advertisement
Reaksi Klopp ketika menyaksikan Liverpool menentang Wolves pada perlawanan EPL di Anfield 22 Mei lalu. — Gambar AFP
Reaksi Klopp ketika menyaksikan Liverpool menentang Wolves pada perlawanan EPL di Anfield 22 Mei lalu. — Gambar AFP

LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, dinamakan sebagai Pengurus Terbaik Liga Perdana musim ini, menurut pengumuman pada Selasa.

Liverpool memenangi Piala Liga Inggeris dan Piala FA dengan menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti.

Tetapi Liverpool terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris kepada Manchester City dengan hanya kurang satu mata pada perlawanan terakhir liga Ahad lepas.

Klopp, ketika menerima anugerah pada majlis makan malam Anugerah Persatuan Pengurus (LMA) Liga Perdana pada Selasa, berkata: “Ia satu penghormatan besar dan ia adalah musim yang gila.

“Perlawanan terakhir apabila hanya dua perlawanan tidak memberi makna dan selebihnya, kesemua berlangsung dengan sasaran penting.

“Ia bukan keputusan yang terbaik yang kami mahu tetapi kami sudah melupakannya.”

Jurulatih dari Jerman itu memberikan penghargaan kepada kakitangan kejurulatihannya dan  menambah: “Apabila anda memenangi satu anugerah seperti ini, anda sama ada bijak atau anda mempunyai barisan kakitangan kejurulatihan yang terhebat di dunia – dan saya di sini bersama-sama semua kakitangan kejurulatihan saya, mereka tahu bagaimana saya menghargai mereka.”

Klopp juga menerima Trofi Sir Alex Ferguson, bersempena nama bekas pengurus legenda Manchester United, yang diundi oleh semua pengurus dengan keanggotaan penuh dalam semua divisyen dalam bola sepak Inggeris.

“Anugerah ini diundi oleh rakan-rakan sejawatan saya dan ia sememangnya hadiah paling penting yang boleh anda perolehi,” kata Klopp.

“Secara amnya, saya tidak percaya dengan anugerah individu dalam bola sepak, ia adalah sukan berpasukan dan saya tidak bermakna tanpa semua pemain saya.
“Semuanya adalah tentang apa yang  boleh kami capai dan lakukan bersama.”

Liverpool mungkin dinafikan empat kejuaraan dalam satu musim oleh City tetapi mereka akan cuba memburu tiga kejuaraan musim ini apabila menentang Real Madrid di final Liga Juara-Juara pada Sabtu depan. — AFP
 

Advertisement