Anda di sini

Anggota agensi penguatkuasaan mengaku tidak bersalah cederakan isteri, khianat

Advertisement

KUCHING: Seorang anggota agensi penguatkuasaan mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu mencederakan isterinya menggunakan sebuah komputer riba dan merosakkan telefon pintar milik mangsa.

Hakim Maris Agan membenarkan Muhammad Aisy Nasir, 23, untuk dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 tunai berserta seorang penjamin tempatan dan menetapkan pengurusan kes pada 27 Jun.

Mahkamah juga menasihati tertuduh untuk mengambil khidmat nasihat peguam bagi kes itu, selain memerintahkan tertuduh untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa dan keluarga mangsa.

Tertuduh (tengah) keluar dari kamar mahkamah selesai sebutan kes. 
Tertuduh (tengah) keluar dari kamar mahkamah selesai sebutan kes. 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya yang berusia 22 tahun dengan menggunakan sebuah komputer riba.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan sebatan, atau mana-mana daripada dua seksaan tersebut.

Pertuduhan kedua menyaksikan tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat iaitu merosakkan telefon pintar milik mangsa sama sehingga membawa kepada kerugian RM1,000.

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali. 

Kedua-dua kesalahan tersebut didakwa dilakukannya pada 17 Disember 2021, di kediaman mereka di Bandar Baru Samariang di sini, sekitar jam 9 pagi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Danial Mohamad Ali tidak menawarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh susulan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Menurut DPP Danial, sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh diberikan ikat jamin RM10,000 tunai berserta dua penjamin tempatan dengan syarat iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan termasuk mangsa dan keluarga mangsa.

Tertuduh bagaimanapun memohon agar jumlah ikat jamin dikurangkan susulan dia tidak mampu untuk membayarnya dan turut memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak lagi tinggal serumah dengan mangsa.

Difahamkan, tertuduh juga dilaporkan telah bercerai dengan mangsa. 

Dalam pada itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama kerana mencederakan mangsa sama dengan cara menggigit lengan mangsa pada 3 Januari lalu, sekitar jam 1.30 pagi di tempat sama.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan pengurusan kes pada 1 Julai dan memberikan tertuduh ikat jamin mahkamah RM5,000 berserta seorang penjamin tempatan. 

Menurut laporan terdahulu, tertuduh dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan isterinya yang ingin membawa anak mereka menemaninya bermalam di hotel untuk menenangkan fikiran.

Tertuduh juga dikatakan memecahkan telefon bimbit isterinya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang ingin menggunakan wang Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk membeli susu anak mereka.

Pendakwaan bagi kes di Mahkamah Majistret dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.

Advertisement