Anda di sini

50 projek SPK, SPS dilulus di bawah RMK-12

Advertisement
 

KUCHING: Sebanyak 50 projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Projek Rakyat sehingga 30 April 2022. 

Pelaksanaan program SPK dan SPS sejak RMK-4 ini merupakan komitmen dan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap rakyat berpendapatan rendah yang memerlukan tanah untuk mendirikan rumah.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (gambar) berkata daripada 50 projek tersebut, 12 projek telahpun siap sepenuhnya mengikut skop pembangunan dan baki 38 projek akan diteruskan sehingga penghujung RMK-12.

“Pada masa ini, projek-projek SPS dan SPK yang dilaksanakan adalah menggunakan spesifikasi infrastruktur yang telah ditambah baik seperti jalan raya yang berturap, parit konkrit dan lot-lot yang ditembok. 

“Kerajaan Sarawak juga telah menetapkan bayaran premium tanah tidak melebihi RM2,500 bagi setiap lot kediaman di dalam SPS dan SPK walaupun kos penyediaan setiap lot tersebut dianggarkan dalam lingkungan RM120,000 hingga RM150,000,” katanya. 

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata demikian dalam ucapan penggulungannya bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini. 

Tambah Awang Tengah, untuk kawasan DUN Satok, RM88 juta telah diluluskan di bawah Projek Rakyat bagi pelaksanaan SPK Segedup yang akan menyediakan sebanyak 273 lot kediaman.

Tender bagi pembinaan infrastruktur mengikut spesifikasi baharu dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun 2022.

Kerajaan katanya juga telah telah mewartakan Kampung Gita Baru, Sungai Maong sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Kampung) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di mana pelaksanaannya mengikut konsep Kampung Tradisional yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur asas seperti di SPS dan SPK.

Sejumlah 132 lot kediaman disediakan di dalam skim ini dan ianya sedang dalam proses pelaksanaan. 

Di DUN Batu Kitang pula katanya, cadangan bagi pelaksanaan tiga SPK yang melibatkan SPK Sandong, SPK Bersepadu Lidah Tanah/Bukit Panchor/Bunga Rampai dan SPK Sebuak telah dikemukakan dalam RMK-12 namun tidak diluluskan.

Cadangan bagi tiga SPK ini bersama-sama dengan cadangan SPK Batu Kitang akan dikemukakan semula dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12.

Manakala, cadangan bagi pelaksanaan SPK Betong pula, Jabatan Tanah dan Survei telah diarahkan untuk mengadakan libat urus bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Betong bagi mengenalpasti tapak yang sesuai untuk cadangan tersebut. 

Awang Tengah turut memaklumkan Tellian terdapat satu SPS iaitu SPS Kampung Kuala Lama dilaksanakan di Tellian yang menyediakan sebanyak 154 lot kediaman. 

Selain itu katanya empat SPK iaitu SPK Judan menyediakan 100 lot kediaman, SPK Petanak Fasa 1 (138 lot), SPK Tellian Fasa 1 (89 lot) dan SKP Penat Oya (95 lot). 

Sementara itu, empat lagi cadangan SPK Baharu iaitu SPK Tellian Fasa 1 (Peringkat 2), SPK Tellian Fasa 2 (Peringkat 1), SPK Sungai Ragei/Sungai Pergei dan SPK Petanak Fasa 2 akan dikemukakan dalam Kajian Separuh Penggal RMK-12.

Bagi menangani isu kepadatan penduduk di kawasan Saratok pula, kerajaan telah meluluskan pelaksanaan SPK Kupang yang akan menyediakan sebanyak 507 lot kediaman dan akan dilaksanakan melalui dua fasa. 

Pelaksanaan SPK Kupang Fasa 1 yang akan menyediakan 134 lot kediaman dengan nilai siling berjumlah RM27 juta telah diluluskan di bawah Projek Rakyat.

Manakala pelaksanaan Fasa 2 yang menyediakan sebanyak 373 lot akan diteruskan apabila pelaksanaan dan pengagihan lot Fasa 1 telah siap dilaksanakan sepenuhnya. 
 

  • oleh
  • Advertisement